Sabtu, 16 Oktober 2021 | 6:33pm
Pengerusi BT Bina Group, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan BT Bina Group, Datuk Seri David Tan (kanan) menyampaikan kunci rumah kepada Rashid Sidek dan Liek Hou pada majlis penghargaan kepada pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pengerusi BT Bina Group, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan BT Bina Group, Datuk Seri David Tan (kanan) menyampaikan kunci rumah kepada Rashid Sidek dan Liek Hou pada majlis penghargaan kepada pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Liek Hou, Rashid kongsi kondominium bernilai RM800,000

KUALA LUMPUR: Jaguh para badminton negara Cheah Liek Hou dan jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek menerima sebuah unit kondominium bernilai RM800,000 yang dikongsi secara bersama daripada syarikat pemaju dan pelaburan hartanah, BT Bina Group Sdn Bhd susulan kejayaan memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.

Selain itu, syarikat berkenaan turut mengumumkan penajaan sebanyak RM1 juta setiap tahun untuk tempoh tiga tahun bermula 2022 yang akan dikongsi oleh Liek Hou dan Rashid selain beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin.

Menerusi penajaan itu, setiap seorang akan menerima RM250,000 setiap tahun sebagai tanda sokongan bagi membantu persiapan mereka melayakkan diri ke Sukan Paralimpik dan Sukan Olimpik Paris.

Bagi Liek Hou, 33, penajaan yang diterima itu meningkatkan lagi motivasinya dalam misi mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi Paris 2024.

"Dengan penajaan ini, ia dapat meringankan bebanan saya dari segi kewangan untuk menyertai lebih banyak pertandingan. Dari situ, ia dapat membantu saya mengekalkan konsistensi sebagai persiapan menghadapi Sukan Paralimpik Paris 2024," katanya ketika sidang media dalam satu majlis penghargaan yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif BT Bina BT Bina Group, Datuk Seri David Tan.

Sementara itu, Rashid menzahirkan penghargaan kepada BT Bina Group yang sudi memberikan insentif lumayan kepada beliau dan Liek Hou.

"Saya agak terkejut kerana ada syarikat swasta yang sudi berikan kami insentif seperti ini. Ini pastinya akan menaikkan lagi semangat saya untuk membantu Liek Hou dab pemain badminton para negara yang lain bagi mencapai kejayaan," kata pemenang gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu.

Berita Harian X