Sabtu, 31 Julai 2021 | 7:59pm
Pemain Guatemala, Kevin Cordon menangis gembira selepas mencipta kejutan menewaskan pemain Korea Selatan, Heo Kwanghee pada aksi suku akhir badminton perseorangan lelaki saingan Sukan Olimpik 2020 di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo. - Foto EPA.
Pemain Guatemala, Kevin Cordon menangis gembira selepas mencipta kejutan menewaskan pemain Korea Selatan, Heo Kwanghee pada aksi suku akhir badminton perseorangan lelaki saingan Sukan Olimpik 2020 di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo. - Foto EPA.

OLIMPIK: Cordon cipta kejutan, Chen Long turut mara

TOKYO: Pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen mara ke separuh akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik, namun gagal ditemani oleh rakan senegaranya, Anders Antonsen.

Axelsen menewaskan pemain China, Shi Yuqi 21-13, 21-13 untuk menempah pertemuan dengan pemain Guatemala yang menghuni ranking ke-59 dunia, Kevin Cordon yang sebelum itu menyingkirkan pemain Korea Selatan, Heo Kwang-hee 21-13, 21-18.

Antonsen pula tumbang di tangan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 21-18, 15-21, 21-18. Ginting akan bertemu pemain China, Chen Long yang menewaskan pemain nombor empat dunia dari Taiwan, Chou Tien-chen 21-14, 9-21, 21-14.

"Membuatkan perlawanan menjadi selesa dan perasaan anda di atas gelanggang adalah dua perkara yang berbeza," kata Axelsen.

"Dia adalah pemain berkelas dunia kalau anda mengikut rentak permainannya. Saya tahu saya perlu mengawal permainan, bermain dengan betul kerana kalau tidak, perlawanan akan menjadi sukar buat saya."

Sementara itu, Cordon meneruskan misi untuk meraih pingat kedua dalam Sukan Olimpik buat Guatemala menerusi kemenangannya ke atas Heo yang menewaskan Kento Momota pada aksi peringkat kumpulan.

"Saya masih lagi kanak kanak, bermain seperti kanak kanak, menikmati perlawanan dan hanya lakukan yang terbaik.

"Adakah kamu percaya yang saya kini berada di separuh akhir? Ini satu perasaan yang amat hebat," kata Cordon.

Chen Long yang juga juara bertahan melengkapkan senarai semi finalis dalam pertarungan sengit menentang Chou.

"Ia aksi yang sukar dan kami berdua beraksi dengan sangat baik. Saya hanya mula mengutip mata selepas separuh masa kedua dalam perlawanan ketiga. Mungkin saya lebih bertuah berbanding dia."

- AFP

Berita Harian X