Rabu, 28 Julai 2021 | 11:26pm
Aksi Zii Jia ketika membalas pukulan Leverdez dalam acara perseorangan lelaki peringkat kumpulan. - Foto AFP
Aksi Zii Jia ketika membalas pukulan Leverdez dalam acara perseorangan lelaki peringkat kumpulan. - Foto AFP

OLIMPIK: Zii Jia janji 'smash' Chen Long

TOKYO: Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia berjanji akan menampilkan aksi habis-habisan ketika turun menentang juara bertahan Chen Long pada aksi 16 terbaik acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, esok.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain itu terikat 2-2 dengan pertemuan terakhir dimenangi Zii Jia 21-12, 21-18 di All England, Mac tahun lalu.

"Chen Long seorang pemain berpengalaman dan perlawanan esok sudah pastinya bukan mudah. Saya berharap dapat membuat persediaan yang baik, dan akan memberikan aksi seratus peratus," kata Zii Jia.

Pemain kelahiran Kedah itu melangkah penuh bergaya ke pusingan kalah mati, apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan M, malam ini.

Pemain nombor lapan dunia berusia 23 tahun itu, menampilkan aksi bertenaga untuk membenam pemain Perancis Brice Leverdez dalam masa 35 minit, pada perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza.

Juara bertahan, Chen Long. - Foto EPA
Juara bertahan, Chen Long. - Foto EPA

Pada set pertama, Zii Jia yang membuat penampilan pertama di Olimpik, bermula perlahan apabila ketinggalan 4-7, namun bangkit memperoleh 10 mata berturut-turut untuk mendahului 14-7, sebelum mencatat kemenangan 21-17 dalam masa 19 minit.

Bermula set kedua, juara All England 2021 itu terus garang untuk mengetepikan cabaran Leverdez yang berada di ranking ke-36 dunia, dengan keputusan 21-5.

Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Zii Jia berkata strategi beliau memaksa lawannya itu bermain secara rali berhasil, apabila berjaya meraih mata demi mata terutama pada set kedua.

"Dia (Leverdez) seorang pemain tidak suka bermain secara rali, dan apabila saya memaksa beliau bermain dengan corak permainan itu dan tidak terburu-buru mendapatkan mata, ternyata menjadi," katanya dan bahawa beliau tidak akan memandang mudah terhadap mana-mana lawan dihadapinya, pada temasya itu. - BERNAMA

Berita Harian X