Isnin, 19 April 2021 | 8:27pm
Aaron (kanan) dan Wooi Yik tetap mahu sertai Terbuka India.
Aaron (kanan) dan Wooi Yik tetap mahu sertai Terbuka India.

Aaron tetap mahu pergi India

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap bersedia untuk ke New Delhi bagi menyertai saingan Terbuka India dari 11 hingga 16 Mei depan di sebalik kes COVID-19 yang masih belum reda di negara berkenaan.

Aaron, 24, berkata biarpun masih belum ada sebarang pengesahan sama ada kejohanan itu diteruskan atau dibatalkan, dia dan Wooi Yik tetap melakukan persiapan seperti biasa.

"Sekarang ini kami menunggu perkembangan terbaru daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Sekiranya kami boleh beraksi, kami akan pergi," kata Aaron.

Sekiranya beraksi, saingan Terbuka India akan menjadi kejohanan kelima buat Aaron-Wooi Yik tahun ini selepas menyertai Yonex Terbuka Thailand, Toyota Terbuka Thailand dan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, Januari selain Terbuka Switzerland, bulan lalu.

Pasangan nombor sembilan dunia itu tersingkir di pusingan pertama Yonex Terbuka Thailand sebelum muncul naib juara pada saingan Toyota Terbuka Thailand manakala gagal melepasi peringkat kumpulan dalam aksi Jelajah Dunia Akhir.

Pada Terbuka Switzerland, mereka mara sehingga separuh akhir.

Setakat semalam, India merekodkan 261,500 kes baharu COVID-19 dengan New Delhi mencatatkan peningkatan dalam tempoh 24 jam apabila sebanyak 25,462 kes baharu dilaporkan.

Selain kebimbangan mengenai kes COVID-19 di India yang tidak menampakkan tanda-tanda akan menurun, persiapan pemain negara yang akan New Delhi juga sedikit terjejas apabila BAM memberhentikan sementara latihan skuad kebangsaan selepas enam pemain diuji positif, Sabtu lalu.

Badan induk itu juga akan kembali mengadakan latihan secara kuarantin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Bagi Aaron, dia tiada masalah sekiranya BAM kembali mengadakan latihan secara kuarantin tetapi berpendapat ia perlu dikenakan ke atas jurulatih juga.

"Sekiranya pemain dan jurulatih menjalani kuarantin bersama, ini akan mengurangkan risiko jangkitan. Sekurang-kurangnya tiada kontak dengan orang luar," katanya.

Berita Harian X