Jumaat, 9 April 2021 | 12:15pm

Zii Jia kaut RM403,896

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei mengingatkan bintang muda negara, Lee Zii Jia agar tidak gelap mata dengan wang hadiah kemenangan dan ganjaran yang diraihnya terutama selepas kejayaan menjuarai Seluruh England, bulan lalu.

Legenda badminton negara itu berkata, pemain berusia 23 tahun berkenaan perlu bijak merancang kewangannya demi menjamin masa depan terutama apabila bersara nanti.

"Zii Jia perlu menyimpan bermula dari sekarang. Saya kenal ibu bapanya dan dia juga ada kakaknya yang pasti akan membantu dia merancang kewangannya. Saya percaya Zii Jia juga tahu apa yang dia perlu lakukan.

"Dia tahu yang bukan mudah untuk meraih wang banyak seperti itu. Jadi, perlu perancangan yang betul.

"Saya ada beritahu dia, yang kita boleh nampak ada bekas pemain selepas bersara (tanpa simpanan), jadi dia kena menyimpan. Sama ada dia mahu membuat pelaburan atau membeli kediaman tidak kisah, yang penting rancang kewangannya dengan betul.

"Kalau beli kediaman di Kuala Lumpur pun OK kerana dia berasal dari Kedah dan ini akan memudahkan ibu bapanya jika datang ke sini... boleh tinggal di kediamannya.

"Lagipun, sebagai pemain bukan selalu ada masa untuk pulang ke kampung. Jadi, ibu bapa dan keluarganya boleh datang selalu," kata Chong Wei yang boleh dianggap pemain dan antara atlet negara yang meraih pendapatan tertinggi sepanjang kerjayanya.

Dalam tempoh tiga bulan tahun ini, Zii Jia sudah mengumpul habuan sebanyak RMRM318,596 menerusi penyertaannya dalam lima kejohanan sejak Januari hingga Mac - Yonex Terbuka Thailand (suku akhir), Toyota Terbuka Thailand (pusingan 32), Jelajah Dunia Akhir BWF 2020 (ke-4 dalam kumpulan), Terbuka Switzerland (separuh akhir) dan Seluruh England (juara).

Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk insentif yang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebanyak RM30,000, kerajaan negeri Kedah RM25,000 dan semalam mendapat saham F&N sebanyak 1,000 unit yang bernilai RM30,300 kerana menjuarai Seluruh England yang mana secara keseluruhannya dia meraih pendapatan sebanyak RM403,896.

Ganjaran wang tunai itu adalah paling tinggi diraih dalam kerjayanya.

Dalam pada itu, Chong Wei turut mengingatkan Zii Jia yang menghuni rangking nombor lapan dunia agar tidak terlalu dibuai dengan kejayaan yang dilakarnya ketika ini kerana menganggap perjalanannya masih jauh.

"Dia boleh meraikan kejayaannya itu memandangkan ia adalah kejohanan besar (Seluruh England) pertama yang dimenanginya tetapi jangan keterlaluan.

"Dia perlu kekal fokus dan terus bekerja keras kerana ada lagi kejohanan yang akan disertainya tahun ini termasuk Terbuka India, Terbuka Malaysia, Terbuka Singapura dan yang paling utama adalah Sukan Olimpik Tokyo (Julai depan)," katanya.

Hadiah Wang Kemenangan Zii Jia Dari Januari

- Yonex Terbuka Thailand (suku akhir): AS$5,500 (RM22,748)

Toyota Terbuka Thailand (pusingan 32): AS$1,000 (RM4,136)

- Jelajah Dunia Akhir BWF (ke-4 kumpulan): AS$9,000 (RM37,224)

- Terbuka Switzerland (separuh akhir): AS$2,030 (RM8,396)

- Seluruh England (juara): AS$59,500 (RM246,092)

Insentif

BAM: RM30,000

Kerajaan negeri Kedah: RM25,000

1,000 unit saham F&N: RM30,300

Jumlah: RM403,896

Berita Harian X