Khamis, 8 April 2021 | 8:08pm
Pengerusi Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB), Tengku Syed Badarudin Jamalullail (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe (kiri) menyerahkan bonus istimewa 1,000 unit saham F&NHB bernilai RM30,300 kepada Zii Jia.
Pengerusi Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB), Tengku Syed Badarudin Jamalullail (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe (kiri) menyerahkan bonus istimewa 1,000 unit saham F&NHB bernilai RM30,300 kepada Zii Jia.

Zii Jia dapat saham pula

KUALA LUMPUR: Minuman isotonik nombor satu Malaysia, 100PLUS memberikan ganjaran dalam bentuk 1,000 unit saham F&N bernilai RM30,300 kepada jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia susulan kejayaannya menjuarai Seluruh England, bulan lalu.

Ganjaran itu disampaikan Pengerusi Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB), Tengku Syed Badarudin Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe dalam satu majlis ringkas semalam.

Sebagai rekod, Zii Jia dilantik sebagai duta 100PLUS sejak Januari tahun lalu.

"Pada majlis menandatangani kontrak pada Januari tahun lalu, Zii Jia berkata sokongan 100PLUS akan membantu mendorong beliau untuk mencapai kejayaan lebih baik. Beliau memenuhi janjinya dan sekarang menjadi juara Seluruh England," kata Pengurus Pemasaran Kanan 100PLUS, Leong Wai Yin.

"Kejayaan sangat menakjubkan apabila berjaya menewaskan dua pemain terbaik dunia iaitu Kento Momota (Jepun) dan Viktor Axelsen (Denmark) dalam perlawanan suku akhir dan akhir. Ini membuktikan kemampuan Zii Jia sebagai pemain yang mempunyai masa depan yang cerah."

Kejayaan pemain berusia 23 tahun dari Kedah itu menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei yang juga duta jenama 100PLUS pada 2017.

Wai Yin percaya Zii Jia mampu berada di kemucak prestasinya menjelang kejohanan badminton Terbuka Malaysia dan Sukan Olimpik Tokyo.

"Kami mengucapkan selamat berjaya kepada Zii Jia pada kejohanan berkenaan dan berharap beliau akan melakar sejarah untuk Malaysia di Tokyo nanti," katanya.

Selain Chong Wei dan Zii Jia, pasangan beregu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juga adalah duta jenama 100PLUS.

Berita Harian X