Isnin, 15 Februari 2021 | 3:44pm
Pemain Sepanyol, Rafael Nadal membalas pukulan Fabio Fognini dari Itali pada pusingan keempat tenis Terbuka Australia. - EPA
Pemain Sepanyol, Rafael Nadal membalas pukulan Fabio Fognini dari Itali pada pusingan keempat tenis Terbuka Australia. - EPA

Nadal mara ke suku akhir

MELBOURNE: Pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal menumbangkan musuh lamanya, Fabio Fognini pada aksi tenis Terbuka Australia untuk mara ke suku akhir Grand Slam buat kali ke-43, sebentar tadi.

Pemain Sepanyol itu yang mengimpikan gelaran pertama di Melbourne Park sejak 2009 belum lagi tewas dalam sebarang set dan mengekalkan rekod ke atas pemain Itali itu menerusi kemenangan 6-3, 6-4, 6-2 di Rod Laver Arena.

Keputusan itu membolehkan dia kini berada pada laluan tepat untuk bertemu Novak Djokovic di final selepas pemain Serbia yang mengalami kecederaan abdomen itu turut mara ke suku akhir selepas menundukkan Milos Raonic, semalam.

"Saya gembira ke suku akhir, permulaan yang positif," kata Nadal yang memburu kejuaraan besar buat kali ke-21.

"Apabila anda menentang pemain yang hebat seperti Fabio di pusingan 16 terbaik, mereka sentiasa memberikan tentangan. Anda tidak boleh turun dan menjangkakan mereka memberi laluan mudah."

Sementara itu, pilihan keempat, Daniil Medvedev melebarkan rekod kemenangan kepada 18 perlawanan selepas hanya memerlukan 89 minit untuk mara ke suku akhir apabila menyingkirkan Mackenzie McDonald 6-4, 6-2, 6-3.

"Ia perlawanan yang hebat. Saya berasa sangat hebat kerana saya hanya kehilangan servis pada set pertama," kata Medvedev.

Pemain itu mara ke suku akhir Terbuka Australia buat kali pertama dan perlu menanti sama ada rakan senegaranya yang juga rakan sepasukan Piala ATP, Andrey Rublev atau pemain dari Norway, Casper Rudd.

"Saya memberi sokongan kepada Andrey kerana jika dia menang, setidak- tidaknya akan ada satu wakil Russia di separuh akhir," katanya. -AFP

Berita Harian X