Ahad, 3 Januari 2021 | 9:05pm
Juara dan naib juara pelbagai kategori bersama penganjur dan penaja saingan badminton Top Glove Purple League Pro Am 2020 di Putrajaya.
Juara dan naib juara pelbagai kategori bersama penganjur dan penaja saingan badminton Top Glove Purple League Pro Am 2020 di Putrajaya.

Joo Ven juara Top Glove Purple League Pro Am

PUTRAJAYA: Pemain badminton perseorangan profesional, Soong Joo Ven menepati ramalan apabila mengesahkan kejuaraan perseorangan lelaki Top Glove Purple League Pro Am 2020 di sini, hari ini selepas menewaskan Iskandar Zulkarnain di pentas final.

Joo Ven merangkul gelaran juara menerusi kemenangan 3-2 (11-10, 10-11, 9-11, 11-5, 11-10) selepas sejam menempuh pertarungan sengit dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Iskandar bagaimanapun menebus kekecewaan itu apabila muncul juara acara beregu selepas dia dan pasangannya, Nur Muhd Azriyn Ayup menewaskan pilihan kedua kejohanan, Shia Chun Kang-Wong Tien Ci dengan keputusan 3-1 (10-11, 11-8, 11-10, 11-4).

Aksi beregu campuran pula menyaksikan gandingan Boon Xin Yuan-Teoh Lexuan muncul juara selepas menundukkan pasangan Tan Kok Xian-Wong Kha Yan dengan 3-2 (9-11, 7-11, 11-7, 11-9, 11-6).

"Kami tewas diawal (perlawanan) kerana gagal membaca permainan lawan yang kuat dan agresif. Tetapi segalanya berubah di set ketiga apabila kami mengubah corak permainan dan berjaya meraih kemenangan," kata Xin Yuan.

Bagi Lexuan, ini adalah permulaan yang baik untuknya kerana baharu sahaja digandingkan dengan Xin Yuan selepas bergelar pemain profesional.

"Selepas kejayaan ini kemungkinan kami akan dikekalkan sebagai pasangan tetapi segalanya bergantung kepada perancangan kelab," kata Lexuan.

Juara bagi acara beregu membawa pulang wang tunai RM15,000 dan Iskandar menjadi pemain yang meraih hadiah kemenangan tertinggi selepas membawa pulang wang tunai RM12,500 (termasuk RM5,000 selaku naib juara perseorangan).

Ketua Pegawai Operasi Purple League, Ho Khek Mong berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Badminton Putrajaya (PBA) dan penaja utama kejohanan, Top Glove yang menjayakan saingan Top Glove Purple League Pro Am 2020.

Mengakui objektif penganjuran kejohanan tercapai, beliau berharap pemain akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

"Sejujurnya saya teruja dan tidak menjangkakan persaingan sengit serta semangat yang ditunjukkan semua pemain. Kita dapat saksikan pemain yang mempunyai bakat terpendam dan menanti peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Saya berharap kejohanan ini menjadi platform untuk pemain mempertingkatkan lagi mutu permainan dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang," kata Khek Mong.

Berita Harian X