Khamis, 11 Julai 2019 | 8:44am
RAFAEL Nadal dan Roger Federer bakal berentap di separuh akhir Wimbledon.
RAFAEL Nadal dan Roger Federer bakal berentap di separuh akhir Wimbledon.

Pertembungan epik Federer, Nadal esok

LONDON: Roger Federer dan Rafael Nadal bakal berentap sekali lagi di separuh akhir Wimbledon esok selepas kali terakhir bertembung pada 2008 yang dianggap perlawanan epik Grand Slam yang pernah berlangsung.

Juara lapan kali, Federer merakam kemenangan ke-100 di Wimbledon dan mara ke separuh akhir kali ke-13 selepas menewaskan pemain Jepun, Kei Nishikori 4-6, 6-1, 6-4, 6-4.

Pemain berusia 37 tahun itu juga menempah perlawanan akhir kali ke-45 dalam kejohanan major sepanjang karier.

Nadal pula, selaku juara dua kali Wimbledon, mara ke separuh akhir buat kali ketujuh dan ke-32 Grand Slam selepas menewaskan Sam Querrey 7-5, 6-2, 6-2.

Pertembungan esok menyaksikan mereka berentap kali ke-40 dan kali ketiga di Wimbledon selepas Federer menang pada final 2006 dan 2007 sebelum Nadal merampas gelaran pada 2008. 

Satu lagi saingan separuh akhir mempertemukan juara empat kali yang juga pilihan pertama, Novak Djokovic yang bakal mencabar pemain Sepanyol, Roberto Baustista Agut, yang julung kali mara ke separuh akhir.

Federer turut muncul pemain tertua beraksi di separuh akhir menyamai pencapaian Jimmy Connors di Terbuka Amerika Syarikat pada 1991.

"Kami ada banyak maklumat mengenai Rafa begitu juga dengan dia. Saya tahu orang ramai menjangkakan sesuatu yang besar,” kata Federer.

"Dia melakukannya di Paris tahun ini (Nadal menang). Saya suka dapat berentap dengan dia di Wimbledon. 

"Saya akan hadapinya sama seperti di kejohanan lain.”

Sebelum itu, Nadal, yang muncul juara pada 2010, mengatasi Querrey enam kali, dengan 10 aces dan 44 mata kemenangan yang pastinya bakal memperaga aksi serupa dengan harapan menewaskan Federer buat kali ke-25 nanti.

"Ia pasti hebat (dapat berentap dengannya sekali lagi)," kata Nadal.

"Sukar menggambarkan situasi yang akan terjadi di sini, saya teruja dapat berentap dengan Roger sekali lagi di Wimbledon selepas sekian lama."

Djokovic pula mara ke separuh akhir buat kali kesembilan dengan mencipta kemenangan ke-70 di Kelab All England itu.

Juara bertahan itu bagaimanapun terpaksa bangkit sebelum menang 6-4, 6-0, 6-2 mengatasi pilihan ke-21 dari Belgium, David Goffin.

"Dia bermain dengan sangat baik dengan pukulan hebat,” kata Djokovic mengulas pertemuan dengan Goffin.

"Keputusan boleh berubah jika saya kalah di set pertama tapi saya amat gembira pada set kedua dan ketiga.

"Saya pernah hadapi perlawanan sukar di pusingan ketiga (melawan Hubert Hurkacz). Selebihnya, saya menang semua perlawanan di kejohanan ini.

"Ini menepati sasaran saya dan berharap dapat mengulanginya di separuh akhir sekal lagi,” katanya. – AFP

Berita Harian X