X
Sabtu, 12 Januari 2019 | 9:45pm
Satheistharan atasi cabaran sengit Riyanto Subagja.
Satheistharan atasi cabaran sengit Riyanto Subagja.

Tebrau City BC mara ke pusingan akhir SSPL

CYBERJAYA: Kelab Badminton (BC) Tebrau City mengesahkan tempat ke pusingan akhir Purple League (SSPL) 2018/2019 selepas melakar kemenangan kedua dalam saingan peringkat kedua Kumpulan B, di Gem In Mall, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas Tebrau City BC menewaskan Mertajam All Stars BC (BMASBC) 15-4, kemenangan kedua selepas turut menang 12-6 ke atas Kepong BC, semalam.

Walaupun kedudukan akhir hanya diketahui esok, kutipan mata menyaksikan Tebrau City BC menghuni tangga ketiga liga ketika ini. 

Justeru, apa jua keputusan dalam perlawanan esok, mereka tetap akan kekal berada dalam kelompok enam teratas liga sekali gus layak ke pusingan akhir SSPL.

“Saya berasa lega dan gembira kerana kami sah ke pusingan akhir SSPL berdasarkan kedudukan sekarang. Kami memang menyasarkan kedudukan enam terbaik sebelum liga bermula.

“Tekanan sudah kurang kerana kami sudah pasti layak biarpun kedudukan terakhir hanya akan ditentukan dalam aksi terakhir peringkat kedua esok. Apapun, saya gembira kerana sasaran sudah dicapai,” kata Penolong Pengurus Tebrau City BC, Lim Kenn.

Tebrau City BC mendahului hasil kemenangan perseorangan lelaki, R Satheistharan yang menang 7-11, 11-9, 11-5, 11-8 ke atas Riyanto Subagja.

Mata seterusnya disumbangkan pemain perseorangan wanita, Rusydina Antardayu yang menewaskan Lim Jing Ning 11-7, 11-10, 11-5 bagi menjarakkan kedudukan kepada 6-1.

Kemenangan terus dilakar Tebrau City BC dalam acara beregu lelaki selepas itu apabila gandingan Low Hang Yee- Ng Eng Cheong menundukkan Sim Fong Hau- V. Roobenraj 11-9, 11-7, 9-11, 10-11, 11-6.

Penguasaan pasukan dari Johor itu semakin sukar dihalang apabila mereka terus memenangi acara beregu campuran melalui pemainnya, Soong Fie Cho-Tan Jinn Hwa yang menundukkan Tiara Rosalia- Agrippina Primarahmanto 7-11, 11-8, 11-8, 11-10 sebelum perseorangan lelaki, Yeoh Seng Zoe melengkapkan kemenangan apabila dia menang 11-8, 11-4, 11-8 ke atas Lucas Corvee. 

Berita Harian X