Sabtu, 22 Disember 2018 | 12:04pm
AKSI Jin Wei ketika menentang KB Petaling dalam saingan SSPL, malam tadi.
AKSI Jin Wei ketika menentang KB Petaling dalam saingan SSPL, malam tadi.

KB Ampang Jaya langkah kanan

KUALA LUMPUR: Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya bermula langkah kanan dalam saingan Liga Badminton Purple Malaysia (SSPL) apabila melakar kemenangan 10-9 ke atas KB Petaling pada aksi pertama di Gem In Mall Cyberjaya, malam tadi.

KB Ampang Jaya meraih mata pertama menerusi perseorangan lelaki, Tan Jia Wei ke atas Cheam June Wei 11-9, 9-11, 11-8, 8-6 sebelum juara remaja dunia, Goh Jin Wei memberi mata kedua buat pasukan itu dalam perseorangan wanita selepas menundukkan Lim Yin Fun 11-8, 11-3, 11-7.

Ketinggalan 0-2, KB Petaling bagaimanapun bangkit dalam acara beregu lelaki apabila gandingan Aaron Chia-Man Wei Chong berjaya mengatasi Lim Tze Jian- Low Juan Shen 11-4, 11-6, 11-3.

Beregu campuran KB Petaling, Terry Hee Yong Kai-Gronya Somerville berjaya mengatasi Lukhi Apri Nugroho- Masita Mahmudin 7-11, 11-9, 11-9, 8-11, 10-6 tetapi keputusan seri dilakar pemain perseorangan lelaki KB Ampang Jaya, Hsueh Hsuan Yi dengan Iskandar Zulkarnain Zainudin 7-11, 11-9, 11-9, 8-11, 10-6 memastikan kemenangan buat pasukan itu.

"Ia bukan perlawanan yang mudah hari ini kerana ia adalah perlawanan pertama dan saya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

"Saya harap dapat membawa KB Ampang Jaya menjuarai saingan kali ini," kata Jin Wei.

Hadir merasmikan perlawanan pembukaan SSPL malam tadi tadi ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

“Saya nampak ada saingan yang amat baik dalam sukan badminton di mana kelab-kelab badminton bersaing untuk memupuk, mencungkil dan mencari bakat-bakat badminton untuk negara kita. Jadi, saya amat menggalakkan perkembangan sebegini, saya harap ekosistem seperti ini boleh dilaksanakan untuk sukan lain juga,” kata Steven

 

Berita Harian X