Selasa, 10 Julai 2018 | 12:21am
PEMAIN Switzerland, Roger Federer melambai tangan kepada penonton selepas menewaskan pemain Perancis, Adrian Mannarino di London. - Foto Reuters
PEMAIN Switzerland, Roger Federer melambai tangan kepada penonton selepas menewaskan pemain Perancis, Adrian Mannarino di London. - Foto Reuters

Federer mara suku akhir

LONDON: Roger Federer memerlukan hanya 16 minit bagi memenangi set pembukaan ketika menewaskan pemain Perancis, Adrian Mannarino 6-0, 7-5, 6-4 bagi menempah tiket ke pusingan suku akhir Wimbledon ke-16 buatnya hari ini.

Juara lapan kali itu akan bermain dalam pusingan suku akhir kali ke-53 dalam kejohanan Grand Slam apabila dia meneruskan saingan sama ada bertemu Gael Monfils dari Perancis atau pemain pilihan kelapan dari Afrika Selatan, Kevin Anderson.

Federer yang diletakkan pilihan utama itu sudah memenangi 32 set berturut-turut di Wimbledon, hanya dua set ketinggalan daripada rekod sendiri miliknya sejak pusingan ketiga pada tahun 2005 hinggalah kejayaannya menjulang gelaran pada 2006.

"Penting baginya untuk meneruskan saingan di permulaan pada set kedua dan kemudian ia menjadi semakin sukar," kata Federer selepas mencatatkan kemenangan keenam daripada keseluruhan enam pertemuan menentang pemain kidal, Mannarino.

"Anda sering bermain lebih baik apabila bertemu pemain yang lebih bagus dan saya gembira untuk berada di minggu kedua Wimbledon."

Federer, 36, mencatatkan rekod kemenangan 4-0 terhadap pemenang tempat kedua Terbuka Amerika Syarikat 2017, Anderson sementara rekod pertemuan 9-4 menentang Monfils.

Monfils dan Anderson masih belum menempatkan diri dalam suku akhir di Wimbledon, biarpun pemain Perancis itu dikatakan menjadi pemain pilihan apabila dia mempunyai rekod kemenangan 5-0 menewaskan Anderson. - AFP

 

Berita Harian X