X
Ahad, 8 Julai 2018 | 11:19am
ROGER Federer dan Serena Williams. - Foto AFP
ROGER Federer dan Serena Williams. - Foto AFP

Federer, Williams pilihan utama di Wimbledon

LONDON: Roger Federer dan Serena Williams dijangka mengekalkan momentum selaku pilihan utama di Wimbledon  menjelang pusingan keempat, esok.

Federer dilihat begitu memberangsangkan dalam pemburuan gelaran kesembilan di Wimbledon manakala Serena yang juga juara tujuh kali menyaksikan ramai seteru utamanya tersingkir.

Persaingan dalam perseorangan wanita begitu berbeza kali ini dengan sembilan daripada 10 pilihan utama ditunjuk jalan keluar sebelum pusingan 16 terbaik Wimbledon buat kali pertamanya di era kejohanan Terbuka.

Dalam aksi lelaki, pilihan ketiga Marin Cilic, keempat Alexander Zverev dan keenam Grigor Dimitrov kesemuanya tersingkir.

Namun situasi ini biasa buat Federer selaku juara bertahan dengan meraih kemenangan set berturut-turut di Wimbledon kepada 29 kali ketika menewaskan pemain Jerman, Jan-Lennard Struff di pusingan ketiga sebelum ini.

Kemenangan ke-175 Federer daripada 200 perlawanan di gelanggang rumput menyaksikan dia mengatasi Jimmy Connors selaku pemain lelaki terbaik di permukaan gelanggang itu.

Bintang Switzerland itu dijadual menentang pilihan ke-22 dari Perancis, Adrian Mannarino untuk memburu slot ke suku akhir.

Pemain nombor dua dunia Federer yang sedang memburu gelaran Grand Slam ke-21, memenangi kesemua lima pertemuan lalu dengan Mannarino, seorang pemain berusia 30 tahun yang belum pernah melangkah ke pusingan 16 terbaik dalam kejohanan utama.

Meskipun Federer sedang berada di tahap terbaiknya, dia sedar pemain nombor satu Rafael Nadal yang masih belum tewas set pada tiga perlawanan pertama dan juara tiga kali Wimbledon Novak Djokovic masing-masing turut kembali berada di tahap prestasi mereka minggu ini selain bakal menjadi lawan berpotensi di pentas final.

Juara Terbuka Perancis, Nadal, sedang memburu gelaran pertama di Wimbledon sejak kali terakhir pada 2010, dijadual bertemu pemain dunia di ranking ke-93, Jiri Vesely manakala Djokovic bertemu pemain Russia di tangga ke-40 dunia, Karen Khachanov.

"Novak dan Rafa adalah pemain yang masih berada dalam perlawanan," kata Federer. "Pada akhirnya daripada sudut saya sendiri, tidak ada banyak perkara berlaku.

"Saya tahu mengenai keputusan untuk aksi wanita. Sebelum ini, ia amat mendebarkan apabila bertemu pemain yang lebih hebat tersingkir

"Saya berasa seperti 'OK, ia akan memihak kepada saya pada masa akan datang'. Saya tidak merasainya lagi pada kali ini." - AFP

Berita Harian X