Isnin, 2 Julai 2018 | 3:59pm
ENGKU Isyamuddin menyampaikan logo Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS kepada Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. Menyaksikan majlis, Perunding F&N, Datuk Kamal Harun.
ENGKU Isyamuddin menyampaikan logo Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS kepada Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. Menyaksikan majlis, Perunding F&N, Datuk Kamal Harun.

GP Final Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS gegar Seremban 

SEREMBAN: Kelibat bakat muda badminton negara bakal berhimpun, di sini bagi mempamerkan aksi kompetitif pada Kejuaraan Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS dari Rabu hingga Ahad ini.

Rentetan keputusan pada pusingan pertama dan kedua sirkit pada Mac dan Mei lalu, Kejuaraan Grand Prix Akhir itu bakal menyerlahkan kemampuan bintang masa hadapan negara sepanjang aksi lima hari yang akan berlangsung di Kelab Rekreasi Cina, Negeri Sembilan.

Pada pusingan pertama lalu, tuan rumahnya adalah Pahang (Kuantan) bagi Zon A; Terengganu (Kuala Terengganu) bagi Zon B dan Putrajaya bagi Zon C manakala Sabah (Zon A); Kedah (Zon B) dan Melaka (Zon C) pula muncul hos bagi pusingan kedua.

Sirkit Remaja Kebangsaan diperakui sebagai landasan paling sesuai buat bintang muda menonjolkan kemampuan sebelum berusaha menyusuri laluan menyertai kelompok pemain kebangsaan.

Kebanyakan pemain kebangsaan sedia ada ketika ini pernah menyertai kejohanan berkenaan di awal karier badminton mereka.

Andai pencapaian pada pusingan awal menjadi ukuran, kejohanan kemuncak itu nanti pasti menjadi medan sengit buat pemain muda memburu kecemerlangan.

Antara yang menjadi tumpuan termasuk pemain muda Sabah, Samin Demond Anthony, Mozes Mohd Hamizan dan Lye Jun Yew serta Joshua Voon Ern Hua dan Pui Wee Young dari Sarawak.

Dalam kalangan pemain wanita, antara yang menyerlah termasuk pemain Selangor K Letshana yang mendominasi saingan perseorangan bawah 16 tahun sehingga membolehkannya terpilih menyertai skuad kebangsaan bagi Kejohanan Badminton Remaja Asia yang akan berlangsung di Jakarta dari 14 hingga 22 Julai ini.

Letshana adalah satu-satunya pemain dalam skuad kebangsaan yang bukan berada di bawah payung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sementara itu, Pengurus Pengaktifan dan Penajaan 100PLUS, Engku Isyamuddin Tuan Losin berkata, sirkit remaja ini membantu membangunkan ramai pemain.

"Sirkit remaja ini adalah medan terbaik buat para pemain muda dan terdapat lebih ramai Chong Wei untuk dicungkil di luar sana," katanya sambil menyatakan yang 100PLUS akan terus komited menyokong kejohanan ini.

Kami sedar kepentingan sirkit remaja terhadap pembangunan sukan ini di masa depan dan akan terus membantu BAM."

Berita Harian X