Khamis, 21 Jun 2018 | 4:34am
PEMAIN Switzerland, Stan Wawrinka ketika menentang pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey pada suku akhir ATP Queen's Club. - Foto AFP
PEMAIN Switzerland, Stan Wawrinka ketika menentang pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey pada suku akhir ATP Queen's Club. - Foto AFP

Wawrinka beri peringatan kepada Murray

LONDON: Stan Wawrinka memberi amaran buat Andy Murray untuk tidak terlalu tergesa-gesa kembali ke gelanggang selepas menjalani pembedahan pinggul sebaik pemain nombor satu dunia itu memberi gambaran yang dia masih belum pasti ke Wimbledon.

Murray ditewaskan 2-6, 7-6 (7/4), 7-5 oleh pemain Australia, Nick Kyrgios di pusingan pertama Queen's Club dalam perlawanan kompetitif yang pertama untuk tempoh 11 bulan.

Pemain berumur 31 tahun itu yang berada di ranking 156 dunia, mengakui selepas kekalahannya yang dia masih belum pasti jika badannya mampu bertahan menghadapi saingan di Wimbledon.

Dia merancang untuk melihat bagaimana tahap kesembuhannya sebelum memutuskan sama ada bermain di All England Club, di mana dua kali dia menjuarai gelaran Wimbledon.

Dengan Wimbledon yang bermula 2 Julai ini, Murray tidak mempunyai masa yang cukup untuk memperoleh kecergasan yang penuh.

Bintang Switzerland Wawrinka, yang kembali selepas kecederaan jangka masa panjang, memberitahu Murray bertapa sukarnya bermain di Grand Slam selepas lama diketepikan.

"Perlawanan pertama saya adalah pada Terbuka Australia, dan dua hari selepas itu saya tidak rasa kesakitan, tetapi badan saya bagaikan tidak bermaya. Saya rasa seperti mati," kata Wawrinka. - AFP

Berita Harian X