Rabu, 20 Jun 2018 | 11:19am
ANDY Murray ketika beraksi menentang Nick Kyrgios di Queen's Club. - Foto Reuters
ANDY Murray ketika beraksi menentang Nick Kyrgios di Queen's Club. - Foto Reuters

Murray belum pasti ke Wimbledon

LONDON: Andy Murray perlu meneliti lebih lanjut mengenai tindak balas badannya sebelum memutuskan sama ada menyertai kejohanan Wimbledon atau sebaliknya selepas 11 bulan tidak bersaing dalam perlawanan kompetitif.

Murray tewas di tangan pemain Australia, Nick Kyrgios 6-2, 6-7 (4/7), 5-7 pada pusingan pertama di Queen's Club tatkala bekas pemain nombor satu dunia itu kembali selepas kecederaan pinggul yang menyaksikannya menjalani pembedahan, Januari lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu kembali ke gelanggang buat kali pertama sejak tewas di tangan Sam Querrey pada suku akhir Wimbledon, 342 hari lalu dan tidak meletakkan sebarang harapan tinggi kali ini.

Malah, juara Wimbledon dua kali yang merudum ke tangga ke-156 dunia, menunjukkan tanda kekok ketika membuat pukulan dan pergerakan.

Murray mengakui mengalami sedikit kekejangan di bahagian belakang ketika perlawanan dan kakinya selepas itu, sekali gus belum jelas mengenai kemampuan badannya untuk mengharungi perlawanan di Wimbledon.

Dia merancang untuk melihat keadaan badannya dalam tempoh 48 jam sebelum membuat keputusan sama ada akan beraksi di All England Club - venue yang menyaksikannya meraih dua gelaran Wimbledon.

"Saya tidak akan menarik diri daripada kejohanan minggu depan dan mahu menyertai kejohanan seperti pertunjukan juga, bersiap sedia untuk Wimbledon. Apa pun, saya belum pasti.

"Saya memerlukan masa dan melihat apakah yang akan berlaku dalam tempoh beberapa hari ini selain berbincang dengan pasukan mengenainya. Ini kerana, saya tidak tahu apakah yang terbaik untuk saya ketika ini." - AFP

Berita Harian X