Selasa, 1 Ogos 2017 | 4:15pm
PEMAIN Badminton Remaja, Leong Jun Hao. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PEMAIN Badminton Remaja, Leong Jun Hao. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Nasihat Chong Wei buat Jun Hao

KUALA LUMPUR: Kemarau lima tahun negara dalam melahirkan juara remaja dunia dalam acara perseorangan lelaki mungkin berakhir seandainya Leong Jun Hao mengikut nasihat yang disampaikan idolanya, Datuk Lee Chong Wei menjelang kejohanan berkenaan di Yogyakarta, Indonesia Oktober depan.

Selepas gelaran itu kali terakhir diraih Zulfadli Zulkiffli pada 2011, Chong Wei memberi kata-kata semangat buat pemain kelahiran Kuala Lumpur itu untuk meneruskan kecemerlangan di Kejohanan Remaja Dunia 2017 yang sebelum ini dikuasai secara bersilih-ganti pemain dari China, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun.

"Ini satu permulaan bagus buat Jun Hao dan saya harap kejuaraan ini mampu untuk memberikan dia satu keyakinan tinggi dalam setiap kejohanan yang disertai nanti," kata tiga kali pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu ketika dihubungi hari ini.

PERMAIN badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Owee Ah Chun
PERMAIN badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Owee Ah Chun

Chong Wei yang dalam persiapan ke Kejohanan Dunia di Glasgow dari 21 hingga 27 Ogos ini menasihati Jun Hao supaya terus kekal fokus dan bekerja keras dalam latihan menjelang kejohanan di Yogyakarta itu.

Jun Hao yang mula bermain badminton pada usia lapan tahun mengakui bahawa Chong Wei adalah idolanya dan mahu mengikut jejak langkah bekas pemain nombor satu dunia itu.

Chong Wei dan Jun Hao boleh mencipta sejarah buat sukan badminton negara jika kedua-duanya berjaya meraih gelaran juara dunia dan remaja dunia tahun ini walaupun sedar halangan sukar bakal diberikan oleh pemain dari China.

Kejayaan Jun Hao muncul juara remaja Asia selepas menumpaskan Bai Yupeng dari China 21-6, 20-22, 21-17 memberi sedikit kegusaran buat peminat badminton tempatan kerana sejarah sebelum ini membuktikan pemain yang berjaya di peringkat remaja gagal mengekalkan rentak di peringkat senior.

Zulfadli dan juara 2013, Soo Teck Zhi dilihat masih bergelut untuk mencipta kejayaan di peringkat senior apabila sering terkandas di pusingan awal ketika menyertai kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas serta Siri Super.

Berita Harian X