Sabtu, 15 Jun 2024 | 11:38pm
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi (tengah) muncul juara dalam acara 100 meter lelaki Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi (tengah) muncul juara dalam acara 100 meter lelaki Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Azeem mohon maaf, hanya mampu catat 10.43s

KUANTAN: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memohon maaf kerana masih belum berjaya mencatat masa memberangangkan apabila merekodkan 10.43 saat (s) pada final 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Biarpun mendapat tempat pertama, catatan itu tidak melepasi hak kelayakan yang ditetapkan iaitu 10s untuk layak secara merit ke temasya sukan terbesar itu pada Julai depan.

"Saya bersyukur, Allah ada perancangan yang terbaik buat saya. Apa pun saya bersyukur dapat berlari pada malam ini dan mendapat tempat pertama.

"Saya juga tahu dan yakin bahawa rakan seperjuangan yang lain akan memberikan saingan sengit seperti Jonatahan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Hannsen Yap Soon Fu Yap.

"Saya juga bersyukur kerana mendapat sokongan daripada semua yang mendoakan saya. Apa yang pasti saya kecewa dengan catatan masa ini dan akan fokus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan pada minggu depan (23-24 Jun).

"Saya harap dapat keputusan terbaik terutama berada pada prestasi lebih baik kerana tidak mendapat rehat secukupnya apabila kembali ke Malaysia dari Amerika Syarikat," katanya.

Pada final 100m, Azeem dari Perak mencatat masa 10.43s untuk berada di tempat pertama manakala tempat kedua diraih Jonathan yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan catatan 10.54s dan Muhammad Efrain Feezan Khan dari Pahang (10.61s) di kedudukan ketiga.

Sementara itu, acara 100m wanita dimenenagi pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang mewakili ATM selepas mencatat masa 11.79s.

Tempat kedua diraih atlet Selangor, Nur Afrina Batrisyia Moha dengan catatan masa 11.87s dan Azreen Nabila Alias (12.21s) di kedudukan ketiga.

Berita Harian X