Jumaat, 14 Jun 2024 | 8:58pm
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Impian Azeem ke final 200 meter tidak kesampaian

KUANTAN: Impian pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk layak ke final 200 meter tidak kesampaian apabila penyertaannya dibatalkan selepas melakukan `false start' pada separuh akhir Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini, malam ini.

Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, pembatalan itu bukannya disebabkan mahu memberikan tumpuan kepada acara kegemaran 100 meter yang berlangsung esok, sebaliknya ia berlaku di luar kawalannya.

"Ia terjadi di luar kawalan. Saya minta maaf dan masih berterima kasih kepada orang ramai yang hadir untuk menyaksikan acara ini.

"Tidak ada rezeki saya untuk acara ini (200m) dan kini saya akan fokus kepada acara 100m dan insha-Allah, doakan yang terbaik untuk larian esok," kata pelari berumur 20 tahun itu.

Pada peringkat saringan 200m, Azeem mencatat masa 21.32 saat (s) pada sesi pagi.

Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan catatan terbaiknya musim ini ialah 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lalu.

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris yang memerlukannya mencatat 10s untuk layak secara merit.

Berita Harian X