Sabtu, 8 Jun 2024 | 2:36pm
azeem meraikan kejayaan bersama Makanakishe Charamba (kanan).
azeem meraikan kejayaan bersama Makanakishe Charamba (kanan).

Azeem bantu Universiti Auburn raih emas di Oregon

KUALA LUMPUR: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi membantu pasukan 4x100 meter (m) untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) Amerika Syarikat (AS) di Oregon, hari ini.

Azeem yang mewakili Universiti Auburn meraih kilauan emas itu bersama rakan sepasukannya Kanysola Ajayi, Dario Matau dan Makanakishe Charamba selepas merekodkan catatan peribadi terbaik mereka 38.03 saat (s).

Pingat perak diraih Universiti Louisiana (LSU) dengan 38.21s manakala Universiti Houston melengkapkan pentas podium dengan meraih gangsa menerusi catatan 38.25s.

Kejayaan itu pastinya bakal menjadi pencetus semangat buat Azeem yang masih memburu slot kelayakan 100m ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit dengan melepasi had kelayakan ditetapkan, 10s.

Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi. Foto fail NSTP
Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi. Foto fail NSTP

Azeem masih ada baki tiga kejohanan dalam usaha melepasi had berkenaan iaitu di Terbuka Malaysia di Kuantan dari 14 hingga 16 Jun ini diikuti Terbuka Kazakhstan (23-24 Jun) dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2-5 Julai.

Berita Harian X