Isnin, 3 Jun 2024 | 3:48pm
Shereen dijangka melonjak dalam kedudukan pertengahan 60 ranking kelayakan Olimpik selepas mencipta rekod baharu kebangsaan.
Shereen dijangka melonjak dalam kedudukan pertengahan 60 ranking kelayakan Olimpik selepas mencipta rekod baharu kebangsaan.

Terbuka Malaysia, Kazakhstan penentu nasib Shereen

KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samsons Vallabouy perlu terus mempamerkan 'magisnya' dalam baki dua kejohanan yang akan disertai bulan ini bagi berpeluang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketika pintu untuk layak secara automatik menerusi had kelayakan 50.95 saat (s) tampak sukar, pelari berusia 26 tahun itu tidak mempunyai pilihan selain menempatkan diri dalam kelompok 48 terbaik ranking kelayakan ke Paris sebelum 30 Jun ini.

Kedudukan ranking pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu dijangka melonjak ke tangga 66 berbanding 77 ketika ini selepas memecahkan rekod kebangsaan miliknya ketika menduduki tempat kedua di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat, semalam.

Shereen mencatat masa 51.79 saat (s), mengatasi rekod kebangsaan miliknya sebelum ini 51.80s yang dilakukan di California pada April tahun lalu.

Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard, berkata saingan Terbuka Malaysia di Kuantan, Pahang dari 14 hingga 16 Jun ini dan Terbuka Kazakhstan di Almaty (23 hingga 24 Jun) bakal menjadi penentu terhadap usaha Shereen mengesahkan tiket ke Paris.

"Kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan akan meningkatkan rankingnya (kelayakan ke Paris) dalam kedudukan pertengahan 60. Bagaimanapun, hanya 48 terbaik akan layak kecuali ada atlet menarik diri sebelum 30 Jun.

"Shereen akan menyertai Terbuka Malaysia dan Terbuka Kazakhstan. Sekiranya dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan memenangi kedua-dua kejohanan itu, dia akan semakin hampir untuk layak ke Olimpik Paris.

"Namun, sudah tentu jika berjaya mencapai had kelayakan 50.95s dia akan layak secara automatik," kata Ballard kepada BH Sukan.

Sebelum ini, KOM memaklumkan jaguh pecut 100m negara, Muhammad Azeem Fahmi disenarai pendek sebagai calon untuk diberikan tiket wild card untuk beraksi di Olimpik Paris.

Bagaimanapun, hanya satu tiket wildcard boleh diberikan seandainya kedua-dua atlet berkenaan tidak dapat melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu secara merit.

Namun, hanya atlet 100m dan 800m akan diberikan tiket wild card berkenaan, sekali gus menyaksikan peluang Azeem lebih tinggi berbanding Shereen untuk diberikan tiket wild card.

Berita Harian X