Ahad, 2 Jun 2024 | 12:22pm
Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy. Foto fail NSTP
Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy. Foto fail NSTP

Shereen pecah rekod kebangsaan

KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy memperbaharui rekod kebangsaan miliknya ketika menduduki tempat kedua di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Di sebalik keadaan cuaca buruk, pelari berusia 26 tahun itu berjaya mencatat masa 51.79 saat (s), 0.01 lebih pantas berbanding rekod kebangsaan miliknya sebelum ini 51.80s yang dilakukan di California pada April tahun lalu.

Pingat emas acara itu dimenangi atlet Jamaica, Leah Anderson yang merakam masa 51.67s manakala pelari Amerika Syarikat, Na'asha Roinson ketiga dengan catatan 51.82s.

Ibu Shereen, Josephine Mary yang juga bekas atlet olahraga negara, berkata kejayaan memperbaharui rekod kebangsaan itu meningkatkan lagi tahap keyakinan Shereen dalam usaha untuk melepasi had kelayakan ke Olimpik Paris, 50.95s sebelum tarikh tutup hujung bulan ini.

"Shereen sangat gembira dengan catatan ini biarpun berlari dalam keadaan cuaca buruk. Lariannya juga konsisten sejak dari awal dan berjaya menamatkan larian dengan baik.

"Ia memberikan motivasi kepada dirinya untuk melakukan catatan yang lebih baik terutama untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Ada 28 hari lagi untuk dia layak secara merit. Dia semakin hampir dan dia berharap dapat melakukan catatan lebih baik lagi dalam baki kejohanan yang akan disertainya," kata Josephine kepada BH Sukan.

Shereen yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 dijadual beraksi dalam dua lagi kejohanan dalam usaha untuk melepasi had kelayakan ke Paris.

Dia yang berada di bawah bimbingan jurulatih dari Amerika Syarikat, Darrick White akan menyertai Terbuka Malaysia di Kuantan dari 14 hingga 16 Jun ini dan Terbuka Kazakhstan di Almaty (23 hingga 24 Jun).

Sekiranya tidak berjaya menepati had kelayakan, Shereen perlu menempatkan diri dalam kelompok 48 terbaik ranking kelayakan ke Olimpik Paris dengan dia ketika ini berada di kedudukan ke-77.

Justeru, Shereen perlu sekurang-kurangnya memecahkan lagi rekod kebangsaan miliknya dalam kedua-dua kejohanan itu melonjakkan kedudukan rankingnya.

Berita Harian X