Sabtu, 25 Mei 2024 | 3:32pm
Shereen juarai saingan 400m wanita Kejohanan Klasik BAYTAF semalam.
Shereen juarai saingan 400m wanita Kejohanan Klasik BAYTAF semalam.

Shereen perlu dua kali lebur rekod kebangsaan jika mahu ke Paris

KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy sekurang-kurangnya perlu dua kali memecahkan rekod kebangsaan miliknya bagi menghidupkan peluang untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Terdahulu, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu sekadar mencatat 52.85 saat (s) ketika menjuarai saingan 400m wanita di Kejohanan Klasik BAYTAF Ke-32 di Stadium Balapan dan Padang Universiti South Florida di Tampa, Amerika Syarikat semalam.

Catatan dilakukan atlet berusia 25 tahun yang berpangkalan di Florida itu lebih sesaat perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya 51.80s dan masih jauh berbanding had kelayakan Sukan Olimpik 50.95s.

Hanya tiga atlet yang mendaftar untuk perlumbaan 400m tetapi hanya dua yang berlari dengan Erin Dowd berada di tempat kedua melalui catatan masa 55.86s.

Selepas perlumbaan 400m, Shereen turut beraksi dalam 200m dan memenangi perlumbaan 23.47s, hampir dengan catatan peribadi terbaik 23.33s.

Erin (24.60) dan Toni Canfall (24.73) masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (MAF), Robert J Ballard, berkata sekiranya tidak berjaya menepati had kelayakan, Shereen perlu menempatkan diri dalam kelompok 48 terbaik ranking kelayakan ke Olimpik Paris dengan dia ketika ini berada di kedudukan ke-78.

Katanya, Shereen berpeluang untuk melonjakkan kedudukan rankingnya sekiranya dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam baki tiga kejohanan yang akan disertainya sebelum tarikh tutup kelayakan hujung bulan depan.

"Rankingnya untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris kini di tangga ke-78 dan hanya 48 atlet terbaik yang layak.

"Dia akan bertanding dalam pertandingan peringkat tinggi di Nashville minggu depan dan kami berharap dia akan beraksi lebih baik.

"Shereen perlu memecahkan rekod kebangsaannya (51.80s) dua kali dalam pertandingan jika dia berharap untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik.

"Dia akan pulang ke tanah air untuk beraksi di Terbuka Malaysia dan Terbuka Kazakhstan. Saya berharap dia akan dapat mencipta rekod kebangsaan baharu dalam kedua-dua kejohanan itu," katanya.

Berita Harian X