Sabtu, 25 Mei 2024 | 12:43pm
Latif meraikan kejayaan memenangi emas Kejohanan Para Dunia di Jepun
Latif meraikan kejayaan memenangi emas Kejohanan Para Dunia di Jepun

Empat lompatan batal tapi Latif tetap raih emas

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly mendapat tonik tambahan menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas berjaya memenangi pingat emas buat kali keempat di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun, hari ini.

Atlet berusia 27 tahun itu mencatat rekod peribadi terbaik musim ini dengan lompatan sejauh 7.30 meter (m) untuk meraih emas keempatnya bagi kategori T20 (kecacatan intelektual).

Latif sebelum ini turut memenangi emas pada edisi 2015 di Doha, London (2017) dan Paris (2023).

Pingat perak acara itu diraih atlet Ecuador, Espinoza yang mencatat 6.95m manakala Jhon Sebastian Obando Asprilla dari Colombia gangsa dengan catatan 6.84m.

Seorang lagi atlet negara yang turut bersaing, Zulkifly Abdullah mengakhiri saingan di tempat ke-12 dengan catatan 6.02m.

Latif yang juga pemegang rekod dunia dengan catatan 7.64m, berkata kejayaan kali ini meningkatkan lagi tahap keyakinannya dalam misi untuk memburu emas ketiga berturut-turut di Paralimpik Paris dari 28 Ogos hingga 9 September depan.

"Saya memang yakin dapat mempertahankan emas (Kejohanan Dunia) dan gembira kerana dapat menampilkan prestasi terbaik.

"Meskipun empat lompatan saya batal tetapi ia tidak memberi kesan kerana saya konsisten memenangi pingat dalam lima Kejohanan Dunia yang saya sertai sejak edisi 2015 di Doha.

"Fokus utama saya sekarang adalah untuk memenangi emas ketiga berturut-turut di Sukan Paralimpik dan berharap dapat memperbaharui rekod dunia," kata Latif yang turut meraih perak pada penampilan di Kejohanan Dunia 2019 di Dubai.

Sebelum ini, dua lagi atlet negara turut menyumbang emas pada Kejohanan Dunia kali ini iaitu jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli (T20) dan Nazmi Nasri (lompat jauh T37).

Eddy Bernard menyumbang perak dalam acara 400m T44 manakala Wong Kar Gee (lompat jauh T12) dan Ammar Aiman (400m T20) meraih gangsa di Kobe.

Selain Latif, tiga lagi yang sudah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris adalah Ziyad, Nazmi dan Eddy.

Berita Harian X