Ahad, 21 April 2024 | 1:49pm
Azeem (dua dari kanan) yang mewakili Universiti Auburn, mencatat masa 10.31 saat dalam acara 100 meter untuk menduduki tempat ketiga pada saringan satu. - Foto X/AuburnTFXC
Azeem (dua dari kanan) yang mewakili Universiti Auburn, mencatat masa 10.31 saat dalam acara 100 meter untuk menduduki tempat ketiga pada saringan satu. - Foto X/AuburnTFXC

Azeem catat masa peribadi terbaik musim ini

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mencatat rekod peribadi terbaik musim ini ketika Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Azeem, 20, yang mewakili Universiti Auburn, mencatat masa 10.31 saat (s) dalam acara 100 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga pada saringan satu.

Bagaimanapun, catatan itu masih jauh berbanding rekod kebangsaan miliknya 10.09s dan had kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang mana atlet perlu mencatat masa 10s.

Saringan satu diungguli dua lagi rakan sepasukan Azeem, Favour Ashe yang memenangi perlumbaan dengan catatan masa 9.96s manakala Kanyinsola Ajayi kedua 10.14s.

Ini adalah kejohanan ketiga Azeem yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou untuk saingan luar dewan musim ini dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris.

Pada Kejohanan Olahraga Yellow Jacket di Georgia Tech, Atlanta, bulan lalu, Azeem berjaya meraih gangsa dengan catatan 10.38s.

Dia selepas itu sekadar mencatat 10.44s di Kejohanan Olahraga Jemputan Tom Jones Memorial 2024 di Gainesville, Florida, minggu lalu untuk di kedudukan ke-22 secara keseluruhan dalam kalangan 75 peserta.

Berita Harian X