Selasa, 9 April 2024 | 1:26pm
Umar sudah sedia untuk ke AS bagi meneruskan latihan dan pengajiannya.
Umar sudah sedia untuk ke AS bagi meneruskan latihan dan pengajiannya.

Umar sedia hadapi TOEFL selepas Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter (m) lelaki, Umar Osman sedang mempersiapkan diri bagi menduduki 'Test of English as a Foreign Language' (TOEFL) yang dijangka diambilnya selepas sambutan Aidilfitri ini.

Ujian berkenaan perlu diambil pemilik rekod kebangsaan 400m kebangsaan itu bagi menguruskan segera urusannya melanjutkan pengajian ke Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) dan Umar bagaimanapun berkata, dia perlu benar-benar bersedia untuk menjawab ujian berkenaan.

"Saya akan menduduki ujian TOEFL dalam masa terdekat, tapi saya perlu praktis dahulu supaya lebih yakin menjawabnya. Mungkin saya akan ambil ujian itu seminggu selepas hari raya," kata Umar, yang mengesahkan dia akan ke Universiti Auburn lebih awal dari jangkaan pada Ogos.

Umar berkata, dia akan memulakan pengajian di sana lebih awal dari jangkaan tetapi tidak berkongsi tarikh sebenar kemasukannya.

"Kalau tak silap saya, kelulusan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) sudah lulus dua hari selepas tarikh kemasukan Januari lalu. Cuma, saya perlu lulus TOEFL, saya mahu benar-benar yakin sebelum duduki TOEFL ini kerana yurannya agak mahal.

"Saya boleh duduki ujian beberapa kali tetapi perlu membayar yuran yang mahal kerana menggunakan matawang dolar AS," katanya.

Berdasarkan semakan di internet, ujian TOEFL di Malaysia dikenakan bayaran AS$195 (RM926) setiap kali ujian diambil.

Pada Januari lalu, Umar memaklumkan yang dirinya terpaksa menangguhkan latihan dan pembelajaran di Universiti Auburn, berikutan kelewatan permohonannya diluluskan NCAA.

Untuk rekod, Umar kini memegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09 saat (s) di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China Ogos tahun lalu selepas mengatasi rekod lama miliknya 46.33s yang di lakukan di Sukan SEA Kemboja 2023.

Berita Harian X