Ahad, 17 March 2024 | 10:04am
Pelari negara, Muhammad Azeem Fahmi (dua dari kiri) ketika beraksi dalam acara 4x100m akhir lelaki pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu. – Foto BERNAMA
Pelari negara, Muhammad Azeem Fahmi (dua dari kiri) ketika beraksi dalam acara 4x100m akhir lelaki pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu. – Foto BERNAMA

Azeem sekadar catat 10.38s

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui ia bukan keputusan yang dimahukannya dalam kejohanan luar dewan pertamanya bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelari berusia 19 tahun itu terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada kejohanan olahraga Jemputan Yellow Jacket di Georgia Tech, Atlanta, Amerika Syarikat, tengah malam tadi.

Penuntut Universiti Auburn di Alabama itu mencatat masa 10.38 saat, ketinggalan di belakang rakan sepasukan, Kanyinsola Ajayi yang muncul juara dengan catatan 10.21s.

Tempat kedua turut diraih pelari Auburn, Makanakaishe Charamba dengan catatan masa 10.28s.

Catatan yang dilakukan Azeem itu bagaimanapun masih jauh daripada masa kelayakan ke Olimpik Paris iaitu 10.00s dan rekod kebangsaan miliknya 10.09s yang dilakukan di Colombia pada Ogos 2022.

Ia adalah kejohanan luar dewan pertama Azeem dalam misi memburu tiket secara merit ke Paris.

"Ia bukan keputusan yang saya mahukan untuk musim pembukaan acara 100m saya tetapi Allah ada perancangan yang lebih baik. Bak kata orang, percaya dengan proses," tulis Azeem di laman X miliknya, hari ini.

Selepas ini Azeem akan berehat bagi menghormati bulan Ramadan dan dia akan kembali menyertai kejohanan selepas Hari Raya Aidilfitri pada 10 April depan.

Walaupun terlepas empat kejohanan pada bulan Ramadan ini namun pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu masih mempunyai tujuh kejohanan untuk disertai termasuk Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun depan.

Sekiranya gagal melepasi catatan masa secara merit iaitu 10.00s, dia masih berpeluang ke Olimpik menerusi perkiraan ranking.

Kali terakhir wakil negara beraksi di pentas Olimpik adalah melalui Watson Nyambek pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Sementara itu, Azeem membantu kuartet 4x100m lelaki Universiti Auburn yang turut dibarisi Charamba, Ajayi dan Dario Matau memenangi emas dengan catatan masa memberangsangkan 38.74s.

Mereka menewaskan kuartet dari Universiti Olahraga Missouri yang menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan 40.59s dan tempat ketiga menjadi milik Universiti Middle Tennessee yang mencatat 40.71s.

Berita Harian X