Ahad, 18 Februari 2024 | 2:56pm
Muhammad Azeem Fahmi memberi bayangan dia memburu catatan 9.95 saat (s) dalam misi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Muhammad Azeem Fahmi memberi bayangan dia memburu catatan 9.95 saat (s) dalam misi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Azeem buru catatan 9.95s

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi memberi bayangan dia memburu catatan 9.95 saat (s) dalam misi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu memuat naik beberapa keping gambar dirinya serta keychain lego tertera angka 9.95 yang digunakan pada begnya.

Pada hantaran itu, Azeem yang kini melanjutkan pengajian dan program latihannya di Universiti Aurburn di Alabama, Amerika Syarikat menulis: "2024. #olympicyear (tahun Olimpik)."

Dia ketika ini berlatih di bawah bimbingan bekas pemegang pingat gangsa 400m lari berhalangan Sukan Komanwel 1998, Ken Harnde.

Azeem memiliki catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan 10.09s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.

Pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu mempunyai tempoh sehingga Jun depan bagi melayakkan diri secara merit ke Olimpik Paris dengan dia perlu mencatat masa di bawah 10s.

Setakat ini, Azeem sudah beraksi dalam dua kejohanan dalam dewan sebagai persiapannya memburu tiket ke Olimpik Paris.

Dia berjaya melangkah ke final acara 60m Kejohanan Jemputan Dalam Dewan Clemson Tiger Pow 2024 manakala terkandas di pusingan kelayakan di Kejohanan Jemputan Razorback di Amerika Syarikat.

Tahun lalu, Azeem mencipta sensasi apabila berjaya memenangi pingat gangsa 100m di Sukan Asia Hangzhou dengan catatan 10.11s, ketinggalan di belakang pelari China, Xie Zhenye yang meraih emas dengan catatan 9.97s manakala atlet Thailand, Boonson Puripol memenangi perak (10.02s).

Berita Harian X