Khamis, 25 Januari 2024 | 6:01pm
Fakrul sasar layak beraksi di Sukan SEA 2025 secara merit.
Fakrul sasar layak beraksi di Sukan SEA 2025 secara merit.

Fakrul impi beraksi di Sukan SEA 2025

KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter (m) lari berhalangan lelaki negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir memasang impian untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan SEA Bangkok 2027.

Meskipun mengakui ia tidak mudah, Fakrul sudah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai selepas dia berjaya memperbaharui rekod kebangsaan acara itu tahun lalu.

Dia yang berlatih di bawah bimbingan Amirul Naim Abdul Ghani mencetuskan sensasi apabila mencipta rekod baharu kebangsaan dengan catatan 51.26 saat (s) ketika Kejohanan Remaja Asia Bawah 20 Tahun di Korea Selatan, Jun tahun lalu.

Fakrul memadam rekod lama berusia 18 tahun milik Mohd Shahadan Jamaluddin ketika melakukannya di Sukan SEA Manila 2005 dengan catatan 51.28s.

Bagi layak secara merit ke Bangkok, Fakrul perlu sekurang-kurangnya melepasi catatan masa ketiga terbaik Sukan SEA Kemboja iaitu 50.75s.

"Misi saya adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Sea Bangkok. Catatan saya ketika ini berada di kedudukan keempat terbaik dan saya masih belum layak.

"Namun, saya akan cuba berusaha ke arah itu kerana itu adalah hasrat saya untuk beraksi di Sukan SEA nanti," katanya.

Menurut Fakrul, Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada Ogos depan menjadi medan terbaik untuk dia cuba melepasi had kelayakan selain turut mengintai peluang bagi mencatat rekod baharu kebangsaan.

"SUKMA Sarawak adalah SUKMA terakhir saya. Jadi saya harap dapat melakukan sesuatu di sana.

"Saya akan cuba untuk memecahkan rekod baharu di bawah catatan 50s. Ia adalah SUKMA terakhir saya dan saya mahu buat yang terbaik untuk Kelantan," katanya.

Berita Harian X