Selasa, 16 Januari 2024 | 9:26pm
Shereen Samson Vallabouy menerima insentif pecah rekod pada malam anugerah olahraga Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin. – Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Shereen Samson Vallabouy menerima insentif pecah rekod pada malam anugerah olahraga Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin. – Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Shereen yakin raih tiket Olimpik Paris

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy menetapkan azam untuk memperbaiki catatan masa sekali gus melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Shereen yang memenangi pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou dengan masa 53.58 saat dalam acara 400 meter berkata, dia kini hanya kurang 0.85s berbanding rekod kebangsaan dilakukannya 51.80s untuk melepasi masa kelayakan secara merit 50.95s.

Justeru itu, atlet yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu tampil yakin untuk memburu tiket kelayakan ke Paris sekiranya mampu menutup ruang kelemahan yang ada sebelum tarikh akhir kelayakan pada Jun ini.

"Jarak masa untuk layak tak jauh. Jika saya memperbaiki larian dan mampu mempertingkatkan ketahanan, saya boleh sampai ke tahap itu dan selebihnya, biarlah Tuhan menentukan," kata Shereen. "Saya masih mempunyai masa memandangkan tarikh akhir kelayakan adalah pada 30 Jun nanti."

Di Hangzhou sebelum ini, gangsa diraih Sheeren secara tidak langsung menamatkan penantian 17 tahun kem olahraga negara untuk meraih pingat di Sukan Asia sejak kali terakhir dimenangi Roslinda Samsu yang meraih perak dalam acara lompat bergalah dan Norasheela Khalid gangsa 400m berpagar.

Malah, kejayaan atlet berusia 26 tahun itu juga menamatkan penantian 45 tahun arena olahraga negara untuk memenangi pingat dalam acara 400m wanita di pentas Asia sejak dilakukan Saik Oik Cum yang meraih emas pada ediai 1978 di Bangkok.

Mengulas mengenai kejohanan yang akan disertainya tahun ini, Shereen berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada jurulatih untuk menentukannya.

"Ketika ini rehat musim dan saya akan mula menyertai pertandingan pada hujung Februari dan jika semua urusan visa berjalan lancar, saya akan mula bertanding di AS. Saya akan cuba yang terbaik untuk mencapai misi layak ke Olimpik kerana itu adalah impian saya sebagai pelari," katanya.

Berita Harian X