Rabu, 10 Januari 2024 | 8:31pm
Atlet lompat tinggi wanita kebangsaan Ngu Jia Xin didapati positif bahan terlarang sibutramine. – Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Atlet lompat tinggi wanita kebangsaan Ngu Jia Xin didapati positif bahan terlarang sibutramine. – Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Jia Xin positif doping, digantung dua tahun

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi kebangsaan, Ngu Jia Xin disahkan positif doping dan dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan bermula 2 Jun lalu hingga 1 Jun 2025.

Ia disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk R Annamalai yang memaklumkan atlet wanita itu akan membuat rayuan susulan hukuman yang diterimanya.

"Dia memang mahu membuat rayuan," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Jia Xin dibenarkan untuk mengemukakan rayuan secara bertulis selewat-lewatnya pada 24 Januari ini.

"Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia memutuskan atlet membuat pelanggaran Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021.

"Keseluruhan proses dijalankan dengan telus dan mengikut Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM) yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.

Pada Jun lalu, ADAMAS mengumumkan kegagalan ujian doping Jia Xin pada Kejohanan Trek dan Balapan KOM yang berlangsung pada Februari di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Menurut ADAMAS keputusan doping itu positif terhadap penggunaan bahan terlarang sibutramine.

Jia Xin kemudian digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.

Dia juga dilapor menolak untuk mencabar ujian sampel B dan memilih untuk proses pendengaran dijalankan ke atasnya pada Julai lalu. – BERNAMA

Berita Harian X