Selasa, 9 Januari 2024 | 3:43pm
Shanti berharap rekod 100m yang diciptanya pada 1993 dapat dipecahkan.
Shanti berharap rekod 100m yang diciptanya pada 1993 dapat dipecahkan.

Shanti sedih rekod 31 tahun belum lebur

KUALA LUMPUR: Bekas ratu pecut negara, G Shanti mengakui kecewa selepas rekod kebangsaan 100 meter (m) miliknya yang sudah berusia 31 tahun masih belum dipecahkan sehingga kini.

Shanti, 57, kekal sebagai pemegang rekod kebangsaan acara itu dengan catatan 11.50 saat (s) yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 1993.

Pada 2017, atlet pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli berjaya mencatat 11.36s di Kejohanan AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan namun catatan itu tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan kerana dibantu tiupan angin 2.5 kmj.

"Sedih jugalah (masih belum ada atlet pecah rekod kebangsaan), sepatutnya catatan saya itu sudah lama dipecahkan.

"Kalau ikut era sekarang, catatan 11.50s tiada apa pun. Jadi, saya harap suatu hari nanti akan ada atlet yang berjaya memperbaharui rekod saya ini," kata Shanti yang ditemui baru-baru ini.

Menurut Shanti yang memenangi pingat gangsa 100m di Kejohanan Asia di Fukuoka, Jepun pada 1998, selain bakat, atlet juga perlu mempunyai kesungguhan serta kemahuan tinggi untuk berjaya dalam acara pecut.

Beliau turut menggesa Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memperhebatkan lagi program pencarian bakat dan menghantar atlet yang berpotensi untuk berlatih di luar negara seperti pelari sensasi wanita, Shereen Samson Vallabouy.

"Kita kena berusaha lagi untuk mencari atlet berkaliber seperti Shereen dan hantar mereka ke luar negara bagi menjalani latihan dan menyertai kejohanan.

"Masa saya dulu, kami tidak ada peluang itu tetapi kami tetap mampu menunjukkan prestasi dan menghasilkan yang baik untuk negara. Memang masa itu misi kami hanya untuk mengharumkan nama Malaysia," katanya.

Shereen yang berpangkalan di Amerika Syarikat berjaya meleburkan rekod berusia 25 tahun milik Shanti dalam acara 200m selepas mencatat masa 23.33s di Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023, Ogos tahun lalu.

Dia memadam rekod milik Shanti 23.37s yang dilakukan di Fukuoka pada tahun 1998.

Berita Harian X