Jumaat, 5 Januari 2024 | 5:35pm
Gambar fail REUTERS: Oscar Pistorius diiringi pegawai polis ketika tiba di Mahkamah Tinggi North Gauteng di Pretoria, Afrika Selatan pada 2016.
Gambar fail REUTERS: Oscar Pistorius diiringi pegawai polis ketika tiba di Mahkamah Tinggi North Gauteng di Pretoria, Afrika Selatan pada 2016.

'Blade Runner' dibebaskan secara parol

PRETORIA: Bekas bintang Paralimpik dari Afrika Selatan, Oscar Pistorius dibebaskan secara parol, hampir 11 tahun selepas membunuh teman wanitanya.

Pistorius yang digelar 'Blade Runner' kerana kaki palsu gentian karbonnya - menembak mati model berusia 29 tahun, Reeva Steenkamp melalui pintu bilik mandi yang terkunci pada Hari Valentine 2013.

Dia sering menyatakan yang dirinya menyangka Steenkamp sebagai penceroboh sebelum melepaskan empat das tembakan ke dalam bilik mandi di rumahnya di Pretoria dan sudah membuat beberapa rayuan terhadap sabitan kesnya.

"Jabaatan Perkhidmatan Koreksional mengesahkan yang Oscar Pistorius adalah seorang yang dibebaskan, berkuatkuasa 5 Januari 2024.

"Dia dimasukkan ke dalam sistem Koreksional Komuniti dan kini berada di rumah," kata jabatan penjara negara itu dalam satu kenyataan.

Pistorius, 37, sudah menjalani hukuman penjara kira-kira lapan setengah tahun selain tujuh bulan di bawah tahanan rumah sebelum dijatuhkan hukuman kerana membunuh.

Lembaga parol pada November memutuskan yang Pistorius boleh dibebaskan selepas melengkapkan lebih separuh daripada hukumannya.

Dalam pada itu, keluarga Steenkamp menerusi kenyataan ibu Reeva, June yang dikongsi peguamnya berkata: "Tidak ada keadilan sekiranya seseorang yang disayangi tidak akan kembali lagi, dan tidak ada ruang masa yang akan mengembalikan Reeva.

"Kami, yang masih ada ini adalah yang (bagaikan) dipenjarakan seumur hidup," kata June Steenkamp yang menambah keinginannya adalah untuk hidup aman selepas Pistorius dibebaskan secara parol.- REUTERS

Berita Harian X