Selasa, 26 Disember 2023 | 6:05pm
Umar dalam proses menyelesaikan permohonan visa untuk berkelana ke AS.
Umar dalam proses menyelesaikan permohonan visa untuk berkelana ke AS.

Umar sahut cabaran Simon ke AS

KUALA LUMPUR: Pelari 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman mengakui berdebar selepas dijadual berangkat ke Amerika Syarikat (AS) bulan depan bagi melanjutkan pengajian dan meneruskan latihannya di Universiti Aurburn di Alabama.

Pemegang rekod kebangsaan itu, berkata dia ketika ini dalam proses menyelesaikan permohonan visa untuk berkelana ke AS.

Katanya, keputusan 'berhijrah' dibuat bagi membolehkan dirinya keluar daripada zon selesa sekali gus memanfaatkan peluang bagi melonjakkan lagi prestasinya.

"Keputusan untuk ke AS ini tidak mudah untuk saya buat. Namun, saya kena keluar dari zon selesa. Bekas jurulatih saya, Simon Lau sebenarnya banyak memberi galakkan kepada saya untuk ke AS biarpun pada mulanya saya berasa berbelah bagi.

"Kata coach (Simon) untuk berjaya dan lebih maju saya kena sambut cabaran ini kerana peluang tidak selalu ada. Jika saya tidak memanfaatkan peluang ini, saya akan rugi," katanya.

Umar, 20, yang berasal dari Johor boleh dilabel antara atlet paling menyerlah musim ini apabila tiga kali memecahkan rekod kebangsaan iaitu di Sukan SEA Kemboja dan dua di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China.

Dia ketika ini memegang rekod kebangsaan dengan catatan terpantas 46.09 saat (s).

Menurut Umar, fokusnya selepas ini adalah bagi mencatat masa di bawah 46s dan percaya ia boleh dilakukan dengan ilmu yang akan diperoleh sepanjang berpangkalan di AS.

"Saya harap segala urusan dipermudahkan dan berterima kasih atas bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang membantu urusan visa saya.

"Saya yakin saya mampu untuk melakukan masa bawah 46s jika saya berlatih di AS," katanya yang dijangka akan meneruskan pelajaran dalam jurusan reka bentuk industri di Universiti Auburn nanti.

Umar akan menyertai jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang turut melanjutkan pengajian dan meneruskan program latihannya di Universiti Aurburn sejak Januari lalu.

Berita Harian X