Rabu, 20 Disember 2023 | 1:59pm
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menamatkan larian acara 200 meter pada tempat pertama pada Kejohanan Olahraga SAECA-BJSS 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menamatkan larian acara 200 meter pada tempat pertama pada Kejohanan Olahraga SAECA-BJSS 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Azeem buru slot merit ke Paris

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Azeem pada ketika ini berada dalam kelompok 48 terbaik dalam Road To Paris yang menjamin slot kelayakan apabila berada di tempat ke-33 bagi acara 100 meter (m) namun atlet berusia 19 tahun itu berazam untuk memburu slot merit dengan catatan masa di bawah 10 saat (s).

Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, tempoh berbaki enam bulan yang ada sebelum temasya akan digunakan sebaiknya untuk memantapkan teknik larian selain memperkuatkan mentaliti bagi menyertai kejohanan menawarkan mata tahun depan.

"Dalam tempoh enam bulan ini, saya yakin dengan diri saya... boleh melakukan lebih baik dan harap layak ke Olimpik. Ada dua cara (layak), satu layak secara masa merit dan satu lagi, menerusi ranking dunia (Road To Paris).

"Sekarang ini saya perlu kekal berada dalam kelompok 48 terbaik. Jadi saya hanya perlu lakukan yang terbaik di setiap kejohanan (akan datang) kerana ia akan memberi mata dalam ranking saya.

"Namun, sasaran utama saya adalah untuk melayakkan diri secara catatan masa," kata Azeem yang pada ketika ini catatan peribadi terbaiknya dalam 10.09s dilakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada 2022.

Catatan dilakukannya itu secara tidak langsung memadamkan rekod lama bagi acara 100m kebangsaan iaitu 10.18s yang dilakukan Khairul Hafiz Jantan di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016.

Berita Harian X