KUALA LUMPUR: Atlet pecut lelaki negara mendapat tonik tambahan menjelang Sukan Asia Hangzhou selepas mendominasi kedudukan podium pada Kejohanan Olahraga Terbuka Jabar di Jawa Barat, Indonesia, semalam.
Muhammad Arsyad Md Saat berjaya memenangi pingat emas pada final acara 100 meter (m) dengan catatan 10.38 saat (s) diikuti rakan senegara, Jonathan Nyepa kedua (10.55s) manakala Khairul Hafiz Jantan ketiga (10.57s).
Prestasi ditunjukkan ketiga-tiga atlet pecut negara itu dianggap petanda positif sebelum menggalas cabaran dalam acara 4x100m di Hangzhou sekali gus di landasan tepat dalam misi memecahkan rekod kebangsaan acara itu di temasya berkenaan.
Mereka akan berganding bersama pemegang rekod kebangsaan 100m yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Muhammad Azeem Fahmi, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Haiqal Hanafi.
Rekod kebangsaan acara 4x100m ketika ini dipegang kuartet yang dibarisi Azeem, Arsyad, Haiqal dan Muhammad Zulfiqar Ismail dengan catatan 39.09s yang dilakukan ketika Sukan SEA Hanoi 2022.
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, berkata dia berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya di Terbuka Jabar dan percaya mereka akan berada pada tahap terbaik apabila Sukan Asia bermula.
"Pertama sekali saya bersyukur dengan pencapaian yang diraih atlet yang bertanding di sini (Terbuka Jabar). Pencapaian ini adalah penanda aras mengenai persiapan atlet pecut sebelum ke Sukan Asia.
"Insya-Allah sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100m di landasan yang tepat. Jika dapat pingat ia dianggap sebagai bonus," katanya.
Sementara itu, pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias berjaya meraih perak dalam acara final 100m dengan catatan 11.99s.
Dia turut akan beraksi di Sukan Asia dalam acara 4x100m bersama Zaidatul Husniah Zulkifli, Shereen Samson Vallabuoy, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling.
Sukan Asia Hangzhou akan membuka tirai saingannya bermula dari 23 September hingga 8 Oktober ini.