Ahad, 6 Ogos 2023 | 8:29pm
G Shanti (gambar kecil) dan Shereen Samson Vallabouy.
G Shanti (gambar kecil) dan Shereen Samson Vallabouy.

Shanti cabar Shereen

KUALA LUMPUR: Legenda olahraga negara, G Shanti melontarkan cabaran kepada Shereen Samson Vallabouy untuk mencatat masa bawah 23 saat (s) bagi acara 200 meter (m) wanita.

Cabaran itu dilontarkan Shanti selepas Shereen memecahkan rekod kebangsaan miliknya yang berusia 25 tahun dalam acara berkenaan.

Shereen mencatatkan masa 23.33s ketika menduduki tempat keempat pada aksi final Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023 di Memphis, Tennessee di Amerika Syarikat (AS), semalam.

Catatan itu menyaksikan dia memperbaharui rekod Shanti 23.37s ketika memenangi pingat gangsa di Kejohanan Trek dan Padang Asia di Fukuoka, Jepun pada 1998.

Shanti, 55, berkata dia bangga dengan pencapaian dilakar Shereen itu dan sememangnya merasakan akan ada atlet yang mampu mengatasi rekod kebangsaan miliknya itu.

Katanya, dia berharap Shereen akan terus bekerja keras dan berusaha untuk cuba melakukan catatan di bawah 23s.

"Akhirnya, ada atlet yang dapat pecahkan rekod saya. Saya memang jangka satu hari nanti mesti ada atlet yang boleh padamkan rekod saya berdasarkan teknologi yang ada sekarang ini.

"Saya sedar rekod ini tidak boleh bertahan selamanya. Dengan latihan Shereen di luar negara selain bimbingan jurulatih dan teknologi yang ada, saya tahu memang rekod ini akan dipadamkan.

"Harapan saya selepas ini, Shereen dia boleh mencatat masa di bawah 23s. Saya percaya dia boleh melakukannya dengan latihan dan bimbingan jurulatih," kata Shanti kepada BH Sukan.

Pencapaian terbaru Shereen itu melayakkan dia untuk dinobatkan sebagai pelari wanita terbaik pernah dilahirkan negara apabila kini memegang tiga rekod kebangsaan, yang pertama dalam sejarah.

Selain 200m, dia turut memegang rekod kebangsaan dalam 400m (51.80s) dan 400m dalam dewan (52.27s).

Pada April lalu, Shereen meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun dalam acara 400m milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam dengan catatan 51.80s di Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California.

Dia yang kini bergelar atlet profesional selepas menamatkan pengajian di Winona State University di Minnesota memperbaharui rekod Rabia yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada 1993 di Filipina.

Sebelum itu, Shereen empat kali meleburkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan dengan yang terakhir ketika memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia dengan catatan 52.27s pada Mac lalu.

Berita Harian X