KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menggalas cabaran tunggal negara pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary dari 19 hingga 27 Ogos ini.
Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden KOM, Syamsul Bani Abdullah yang turut menyatakan rayuan mereka mendapatkan dua slot wild-card ditolak Persekutuan Olahraga Dunia (WA) dan ia menyaksikan hanya Azeem akan disenaraikan beraksi dalam acara 100 meter.
Keputusan itu secara tidak langsung menyaksikan pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy tidak akan menyertai kejohanan itu dengan pertimbangan dibuat KOM berdasarkan kedudukan ranking.
"Azeem akan menjadi wakil tunggul negara ke Kejohanan Dunia apabila rayuan untuk kita menghantar dua orang atlet ditolak WA. Mereka hanya membenarkan kita menghantar seorang atlet terbaik berdasarkan ranking dan atlet itu adalah Azeem," kata Syamsul.
"Pada Kejohanan Dunia itu nanti, saya harap Azeem dapat buat yang terbaik untuk dia dan negara dan ia juga satu pendedahan terbaik bagi Azeem sebagai persiapan ke Sukan Asia Hangzhou nanti."
Sebelum ini, media melaporkan pemegang rekod kebangsaan acara 100m itu berharap diberikan tiket wild-card oleh KOM untuk bertanding pada Kejohanan Dunia.
Untuk rekod, Azeem, 19, berada di kedudukan ke-90 dunia dalam ranking WA manakala Shereen di tangga ke-116 namun menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila meraih pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023 selain turut memecahkan rekod kebangsaan acara kegemarannya.