Isnin, 24 Julai 2023 | 7:47pm
Atlet olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi bersama pelajar pada Sesi "Meet and Greet" di SMK Presint 8 (1), hari ini. - BERNAMA
Atlet olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi bersama pelajar pada Sesi "Meet and Greet" di SMK Presint 8 (1), hari ini. - BERNAMA

Azeem harap dapat 'wild card' ke Budapest

PUTRAJAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berharap dia diberikan tiket 'wild card' oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary yang akan berlangsung dari 19 hingga 27 Ogos ini.

Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu ketika ini bersaing dengan pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang turut berada dalam senarai untuk dipertimbangkan bagi meraih tiket wild card.

Bagaimanapun, Azeem, 19, berkata berdasarkan ranking Olahraga Dunia (WA), dia adalah atlet negara yang mengumpul mata tertinggi bagi acara balapan di kedudukan ke-90 dunia.

Shereen pula berada di tangga ke-116 dunia tetapi menunjukkan peningkatan prestasi yang positif dengan memenangi pingat emas Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.

"Benar, saya berharap dapat beraksi di kejohanan itu, kerana berdasarkan ranking Olahraga Dunia, saya adalah atlet Malaysia yang mengumpul mata tertinggi.

"Namun, jika bukan rezeki saya, saya akan memberikan tumpuan kepada Sukan Asia Hangzhou," kata Azeem ketika ditemui selepas sesi 'meet&greet' bersama pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan pemegang rekod kebangsaan 400m lelaki negara, Umar Osman.

Berbanding Azeem, Shereen pernah beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia tahun lalu di Oregon, Amerika Syarikat (AS) namun terkandas seawal pusingan pertama dengan catatan 53.56 saat (s).

Difahamkan, KOM sudah mengemukakan rayuan kepada WA untuk mendapatkan dua slot wild card membabitkan atlet lelaki dan wanita namun keputusan hanya akan diketahui pada 1 Ogos ini.

Setakat ini, belum ada seorang pun atlet negara yang berjaya melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Dunia dengan tarikh tutup kelayakan adalah pada 31 Julai ini.

Sementara itu, Hannah ketika mengulas mengenai sesi 'meet&greet' itu, berkata program yang pertama kali dianjurkan bersama pelajar sekolah berkenaan diharapkan akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak lagi program sedemikian agar dapat memberi inspirasi serta dorongan kepada pelajar untuk bergiat aktif dalam sukan seperti Azeem dan Umar.

Berita Harian X