KUALA LUMPUR: Raja Pecut Sukan SEA 2019, Muhammad Haiqal Hanafi terpaksa melupakan penyertaannya di Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 19 Julai ini selepas ditimpa kecederaan buku lali ketika menjalani latihan.
Jurulatih pecut negara, Muhammad Poad Kassim berkata, Haiqal mengalami kecederaan itu ketika menjalani latihan di kem latihan pusat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini dan khidmatnya bakal digantikan Mohammad Thaqif Hisham dalam kuartet 4x100 meter (m) yang turut disertai Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa.
"Saya tidak mahu memperbesar-besarkan perkara ini. Yang boleh saya katakan, Haiqal mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika berlatih," kata Poad mengenai Haiqal yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.69 saat (s) ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Hong Kong, April lalu.
"Apapun, atlet kita masih lagi bersemangat dan berada dalam keadaan cukup positif. Harapnya kita boleh melakukan yang terbaik di sana nanti.
"Dalam pada itu, Poad berkata, terdapat perubahan daripada posisi pelari bagi kuartet 4x100m yang sebelum ini pernah meraih pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.
"Azeem sudah pasti akan menjadi pelari terakhir. Thaqif pula akan menjadi pelari ketiga manakala Jonathan pula sebagai pelari kedua. Khairul Hafiz akan menjadi pelari pertama. Aturan kali ini memang cukup berbeza dengan apa ditampilkan di Sukan SEA lalu," katanya.
Untuk rekod, Haiqal meraih gangsa dalam acara 100m di Phnom Penh dengan catatan 10.443s manakala emas dimiliki pelari Thailand, Soraoat Dapbang (10.37s). Perak dimenangi atlet Singapura, Marc Louis dengan catatan 10.39s.