KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berpotensi menjadi sandaran negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 tetapi dia perlu dipersiapkan dengan program pembangunan yang lebih sistematik bermula dari sekarang.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berkata menyenaraikan Azeem dalam program Road to Gold (RTG) adalah salah satu langkah terbaik dengan sasaran buat atlet berusia 19 tahun itu adalah untuk dia menyerlah di Los Angeles.
Katanya, penyenaraian pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu dalam RTG juga pastinya akan memberi tonik tambahan kepada atlet berkenaan untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Azeem ada potensi untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 tetapi untuk dia menandingi pelari pecut sedia ada sekarang, saya fikir ia sukar. Jika dia berjaya mara sehingga separuh akhir pun satu pencapaian yang membanggakan.
"Namun, kalau Olimpik Los Angeles, itu adalah matlamat yang realistik dan boleh diterima pakai untuk dia menjadi pencabar pingat buat kontinjen negara. Sebab itu, kita perlu persiapkan Azeem bermula dari sekarang dalam tempoh lima tahun yang ada ini.
"Dia memang sepatutnya berada dalam RTG. Namun, sasaran untuk dia adalah berbeza, bukan untuk mencapai kejayaan atau menyumbang pingat (di Sukan Olimpik Paris) tetapi lebih kepada proses pembangunan yang lebih sistematik dan realistik sebagai persiapan Olimpik Los Angeles.
"Ia penting bagi membolehkan Azeem benar-benar bersedia dari segi fizikal, psikologi, mental, kekuatan dan diberikan pendedahan pertandingan yang secukupnya," kata Sadek kepada BH Sukan.
Beliau, berkata Jawatankuasa RTG seharusnya mewujudkan 'Tier 2' dalam program itu bagi membangunkan atlet muda khususnya yang berpotensi menjadi sandaran pingat kontinjen Malaysia bagi kitaran Sukan Olimpik seterusnya iaitu di Los Angeles.
"Dari segi sokongan sains sukan dan bantuan lain, semua atlet wajar mendapat sokongan yang sama tetapi dari segi pembayaran elaun, atlet 'Tier 2' mungkin kita boleh kurangkan bayaran untuk mereka berbanding atlet yang berada dalam RTG sekarang dan menjadi sandaran di Sukan Olimpik Paris.
"Semakin hampir Olimpik, atlet 'Tier 2' akan mencapai kadar bayaran elaun yang maksimum seperti ditetapkan," katanya.
BH Sukan semalam, melaporkan bekas atlet pecut kebangsaan, Nazmizan Mohamad mencadangkan agar Azeem yang kini melanjutkan pengajian dan mengikuti program latihan di Universiti Auburn di Amerika Syarikat disenaraikan dalam RTG.
Katanya, selepas 'kelonggaran' diberikan kepada skuad hoki dan dua wakil badminton untuk berada dalam RTG, Azeem seharusnya turut diberi peluang yang sama berdasarkan bakat dimilikinya yang jarang ditemui di negara ini.
Senarai Atlet RTG
Badminton
Aaron Chia
Soh Wooi Yik
Ong Yew Sin
Teo Ee Yi
Lee Zii Jia
Ng Tze Yong
Pearly Tan
M Thinaah
Chen Tang Jie
Toh Ee Wei
Berbasikal trek
Datuk Azizulhasni Awang
Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Terjun
Datuk Pandelela Rinong
Nur Dhabitah Sabri
Hoki
Pasukan lelaki