KUALA LUMPUR: Bintang olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi wajar dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) bagi membantunya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit.
Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohamad, berkata selepas 'kelonggaran' diberikan kepada skuad hoki dan dua wakil badminton untuk berada dalam RTG, Azeem, 19, seharusnya turut diberi peluang yang sama berdasarkan bakat dimiliki pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu.
Katanya, bakat dimiliki Azeem yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) adalah sesuatu yang jarang ditemui di negara ini dan dia perlu diberi bantuan yang secukupnya untuk menyerlahkan potensinya.
"Sepatutnya Azeem diberi peluang ditambah pula usianya masih muda. Setiap sukan itu penilaiannya adalah berbeza, macam olahraga ini untuk kita dapat pelari berpotensi seperti Azeem adalah sangat jarang.... mungkin 10 atau 15 tahun baru ada seorang.
"Jadi, mengapa tidak kita bantu dia. Kalau kita tidak bantu, maknanya peluang dia adalah kosong tetapi jika sebaliknya, mungkin peluang itu sudah menjadi 50 atau 60 peratus.
"Berdasarkan peningkatan prestasi yang ditunjukkannya sepanjang tahun ini, saya percaya dia boleh layak ke Sukan Olimpik secara merit dengan mencatatkan 10s (saat). Kalau boleh layak secara merit, bukan sesuatu yang mustahil untuk dia melakukan catatan di bawah 10s.
"Ini sudah tentu akan menjadi satu pencapaian yang baik untuk negara kita apabila menyaksikan pelari pertama mencatat masa di bawah 10s," kata Nazmizan kepada BH Sukan.
Nazmizan yang memenangi pingat emas dalam acara 100 dan 200m di Sukan SEA Hanoi 2003, berkata penyenaraian Azeem dalam RTG pastinya akan memberikan suntikan motivasi buat atlet berkenaan dalam usahanya layak ke Paris secara merit.
"Walaupun Azeem mendapat biasiswa penuh dan sistem sokongan daripada universitinya (Universiti Auburn) tetapi tidak salah untuk kita memberikan bantuan atau 'topup' yang mungkin tidak diberikan oleh universiti. Ini sudah tentu akan membantu Azeem memberikan fokus sepenuhnya terhadap program latihannya.
"Ini juga akan memberi inspirasi kepada atlet olahraga negara yang lain untuk mereka turut mencapai prestasi terbaik bagi mengikut jejak langkah seperti Azeem," katanya.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Mac lalu mengumumkan penubuhan program RTG yang bertujuan untuk menyelaras usaha bagi menjelmakan kilauan emas pertama Malaysia di pentas Sukan Olimpik.
Jawatankuasa RTG yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menetapkan dua kriteria utama untuk atlet disenaraikan dalam program berkenaan iaitu mereka yang pernah menang pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan berada dalam kedudukan ranking 10 terbaik dunia.