KUALA LUMPUR: Jangan syok sendiri!
Itu pengajaran berguna buat Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengakui kesilapannya apabila secara sendiri menetapkan sasaran untuk membawa pulang 10 pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023.
Sasaran itu bagaimanapun tidak berjaya dicapai apabila skuad olahraga hanya membawa pulang lima emas selain tiga perak dan 12 gangsa dari Phnom Penh.
Bekas raja pecut negara, Nazmizan Mohamad, berkata sasaran pingat yang ditetapkan perlu dibuat berdasarkan kajian secara menyeluruh mengenai tahap prestasi semasa atlet khususnya kedudukan terkini mereka di Asia Tenggara selain perbincangan bersama barisan jurulatih.
"Untuk sasaran pingat, kita perlu betul-betul adakan perbincangan dengan semua pihak dari atas hinggalah peringkat bawah. Perlu ada perbincangan bersama ketua jurulatih, jurulatih dan adakan pertemuan dengan atlet.
"Komunikasi dua hala adalah sangat penting, kita tidak boleh syok sendiri atau jangan terbawa-bawa faktor politik dalam sukan ini.
"Semuanya perlulah dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet kita dan pencabar mereka, kena tahu kedudukan mereka di peringkat Asia Tenggara ini. Sukan olahraga ini mudah, catatan masa adalah yang paling penting.
"Katakan waktu itu saya catat 10.01 saat (s) dan pada tahun itu memang tiada orang di peringkat Asia Tenggara melakukannya dan saya berada di kedudukan nombor satu, jadi bolehlah saya diletakkan sebagai sandaran emas. Dengan faktor itu, sudah tentu peluang saya tinggi untuk menang emas," kata Nazmizan yang memenangi emas acara 100 dan 200m di Sukan SEA Hanoi 2003.
BH Sukan sebelum ini melaporkan, Shahidan mengakui kesilapannya mengumumkan sasaran untuk membawa pulang 10 emas dari Sukan SEA Kemboja 2023.
Katanya, pengumuman terbabit dilakukan selepas memenangi kerusi utama KOM tanpa melakukan perbincangan terlebih dahulu bersama barisan kejurulatihan dan pihak berkepentingan hingga menimbulkan 'kekecohan' sebaik acara olahraga menutup tirai di temasya dwitahunan itu.
Mengulas lanjut, Nazmizan yang menjadi antara individu menggesa KOM untuk menilai semula sasaran 10 emas itu bagaimanapun, berkata pencapaian skuad olahraga negara kali ini yang membawa pulang lima emas tetap sesuatu yang positif mengambil kira rata-rata atlet yang dihantar adalah atlet muda.
"Memang sejak dari awal lagi secara peribadi saya meramalkan, kita boleh dapat lima atau enam sahaja berdasarkan atlet yang kita ada.
"Cuma, apa yang saya terkilan sepatutnya ada kombinasi atlet muda dan senior. Ada atlet senior yang berada di kedudukan nombor satu dalam negara dan ada ranking yang baik di peringkat Asia Tenggara tetapi tidak dapat menyertai Sukan SEA kali ini kerana tidak melepasi had kelayakan.
"Sepatutnya, kita boleh beri pengecualian apatah lagi atlet berkenaan tidaklah terlalu berusia. Jadi, saya harap perkara ini dapat dipertimbangkan semula dan sesuatu dapat dilakukan pada masa akan datang," katanya.
Atlet yang menyumbang emas Sukan SEA Kemboja kali ini adalah Umar Osman dalam acara 400meter (m), Shereen Samson Vallabouy (400m individu wanita), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang).