Sabtu, 13 Mei 2023 | 1:17pm
Atlet negara, Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaan memenangi pingat emas dalam acara 400 meter individu wanita pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja. - Foto REUTERS
Atlet negara, Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaan memenangi pingat emas dalam acara 400 meter individu wanita pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja. - Foto REUTERS

Lima emas olahraga tak cukup buat KOM

PHNOM PENH: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akhirnya meluahkan rasa tidak puas hati apabila kem olahraga negara hanya membawa pulang lima emas daripada 10 yang disasarkan di temasya Sukan SEA Kemboja.

Shahidan berkata, beliau mengharapkan kem olahraga negara dapat membawa pulang lebih banyak pingat emas berdasarkan kepada perkiraan dan prestasi terkini atlet di temasya dwitahunan itu.

"Mana nak puas hati..kalau dapat 12 emas barulah saya puas hati namun jika ikut perkiraan lima tambah tiga nak dekat 10 emas sekali gus hampir mencapai sasaran.

"Namun, saya bersyukur kerana usaha gigih yang dilakukan dalam jangka masa pendek akhirnya dapat kejayaan positif.

"Jika tidak dapat gangsa mungkin saya rasa kurang menyeronokkan tapi bila dapat pingat itu membuktikan pendedahan pertama di Sukan SEA kepada atlet muda adalah berjaya," katanya.

Mengikut rekod, kem olahraga mengakhiri saingan di Sukan SEA Kemboja dengan lima emas, tiga perak manakala 12 gangsa dengan dua rekod kebangsaan berjaya dicipta menerusi acara 400 meter (m) individu lelaki, Omar Osman dan kuartet 4x100m wanita.

Temasya dwitahunan di Hanoi, Vietnam, tahun lalu menyaksikan atlet olahraga negara turut membawa pulang lima emas, tiga perak dan lapan gangsa.

Atlet yang menyumbang emas pada edisi kali ini adalah Omar dalam acara 4x400m, Shereen Samson Vallabouy (400m individu wanita), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang).

Sementara itu, Shahidan berkata, peningkatan jumlah pungutan gangsa berbanding tahun lalu membuktikan keputusan KOM menghantar pelapis di Kemboja adalah tepat.

"Pada masa akan datang mereka akan menggantikan atlet senior yang sudah melepasi had umur sekali gus boleh mencipta keputusan positif untuk negara," katanya.

Berita Harian X