Ahad, 23 April 2023 | 10:52am
 Amir Izwan optimis Malaysia mampu lahirkan lebih ramai Azeem. FOTO Ihsan Instagram _azeemf
Amir Izwan optimis Malaysia mampu lahirkan lebih ramai Azeem. FOTO Ihsan Instagram _azeemf

Malaysia mampu lahirkan lebih ramai Azeem

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah optimis Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pelari pecut seperti Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk diketengahkan dalam pelbagai temasya sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Justeru, Amir Izwan berkata misi bagi melahirkan pelari pecut berbakat seperti Azeem yang mencipta beberapa kejayaan di usia muda tidak boleh terhenti di tengah jalan selain perlu dipergiat dari semasa ke semasa.

"Ikutkan saya tiada tekanan. Kita hanya buat apa yang kita mampu dengan apa 'material' yang kita ada. Pada waktu sama kita akan usaha dapatkan serta cari 'Azeem nombor dua'," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Amir Izwan berkata tempoh masa yang khusus tidak boleh diletakkan dalam proses 'menjelmakan' atau menghasilkan pelari pecut seperti Azeem.

"Tidak perlu diletakkan tempoh masa. Ia kena berterusan, dilakukan dengan melihat kepada bakat sedia ada dan jangan diletakkan sasaran dua atau tiga tahun kerana kita mahu projek itu berjalan," katanya.

Mengulas sama ada barisan pelari pecut negara mempunyai semangat juang untuk menghasilkan pencapaian membanggakan seperti pelari berusia 18 tahun itu, Amir Izwan berkata rata-rata mereka mempunyai mentaliti yang tidak jauh berbeza.

"Nak kata cara pemikiran, semua orang boleh ada itu, cuma bagaimana seseorang atlet itu menzahirkannya dalam latihan serta kejohanan.

"Atlet ini semuanya berbeza kebolehan, jadi mungkin perlu ambil masa, bergantung kepada sama ada mereka boleh memberikan reaksi yang cepat atau tidak," katanya.

Nama Azeem disebut-sebut sebagai permata baharu olahraga negara selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09saat (s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogoslalu.

Azeem yang kini melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Universiti Auburn, Amerika Syarikat, pada masa sama turut memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan pada Kejohanan Tiger Paw Invitational, Februari lalu selain menjuarai acara 100m Kejohanan Florida State University (FSU) Relays di negara itu pada Mac. - BERNAMA

Berita Harian X