KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sekali lagi menuntut pengorbanan yang besar dalam kalangan atlet negara khususnya yang beragama Islam.
Berbaki kurang dua minggu sebelum temasya Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh bermula, masa sangat mencemburui atlet negara untuk mereka meraikan Hari Raya pada tahun ini.
Atlet hanya diberikan tempoh cuti yang pendek bagi sambutan Aidilfitri sebelum perlu kembali menjalani latihan untuk persiapan menghadapi temasya di Phnom Penh.
Malah, ada antara mereka yang berada di perantauan bagi menyertai kejohanan dan sesi latihan di luar negara sekali gus terpaksa berjauhan daripada keluarga tersayang untuk sambutan perayaan tahun ini.
Bagi atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang menjadi sandaran dalam acara 100 meter (m) dan 4x100m di Phnom Penh, dia hanya diberikan pelepasan selama dua hari untuk sambutan Aidilfitri sebelum kembali berlatih bagi menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura dari 26 hingga 28 April ini.
"Rasa bersyukur sangat pada tahun ini kami diberi cuti selama dua hari untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Selepas itu pada Raya keempat, saya dan rakan sepasukan akan ke Singapura.
"Ia adalah kejohanan terakhir kami sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja," kata Khairul Hafiz yang pulang ke kampung halamannya di Melaka untuk meraikan Aidilfitri.
Berkongsi pengalaman terpaksa beraya di perantauan, Khairul Hafiz yang diberi julukan 'The Speedy Jantan', berkata perkara itu sudah menjadi asam garam dalam kerjaya sebagai atlet.
"Paling saya tidak boleh lupa ketika menyambut raya di Colombia pada tahun 2015 yang mana ketika itu saya menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Dunia, ia jatuh pada Raya.
"Pada hari pertama saya sudah perlu beraksi dalam acara 200m. Sebenarnya, sebagai atlet kami sudah biasa dengan situasi ini. Apabila jurulatih cakap tidak boleh balik, memang kami tidak boleh nak bantahlah," katanya.
Di Phnom Penh kali ini, kelibat Khairul Hafiz yang juga bekas pemenang emas 100m sudah pasti akan menjadi perhatian dalam misinya kembali bergelar raja pecut Asia Tenggara selepas mengungguli saingan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Walaupun mengakui ia bukan tugas mudah, Khairul Hafiz percaya tiada apa yang mustahil untuk dia kembali merampas gelaran juara.
Juara bertahan dari Thailand, Puripol Boonson bakal menjadi ancaman terbesar apabila sekali lagi diletakkan sebagai pilihan utama kali ini.
Puripol mempunyai catatan peribadi terbaik 10.09s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.
"Insya-Allah, bagi saya tiada apa yang mustahil untuk kembali memenangi emas kerana saya pernah buktikan sebelum ini. Dalam acara 100m ini, macam-macam boleh berlaku.
"Contohnya pada tahun 2017, Eric Cray (Filipina) yang juga juara bertahan diletakkan sebagai pilihan tetapi saya buktikan boleh memenangi emas ketika itu," kata Khairul Hafiz yang memiliki catatan peribadi terbaik 10.18s.
Selain Khairul Hafiz, Muhammad Haiqal Hanafi turut akan menggalas tugas dalam acara 100m di Phnom Penh.
Kedua-dua atlet itu juga akan membarisi kuartet 4x100m bersama Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa dan Russel Alexander Nasir Taib dalam misi mengintai peluang untuk meraih emas dan meleburkan rekod kebangsaan.