Khamis, 20 April 2023 | 4:28pm
Shereen akui salah satu impiannya sudah tercapai apabila lebur rekod Rabia.
Shereen akui salah satu impiannya sudah tercapai apabila lebur rekod Rabia.

Semangat Shereen makin membuak

KUALA LUMPUR: Kejayaan meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 400 meter (m) yang berusia 30 tahun baru-baru ini tidak sesekali meletakkan Shereen Samson Vallabouy dalam zon selesa.

Sebaliknya, bintang olahraga wanita negara itu tidak akan berhenti untuk terus bekerja keras bagi mengejar impiannya bagi meraih kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Shereen, 25, berkata salah satu impiannya sudah pun tercapai menerusi kejayaan memecahkan rekod kebangsaan yang berusia 30 tahun milik Allahyarham Rabia Abdul Salam.

"Beraksi di Mt Sac Elite dalam perlumbaan 400m dan mencatatkan masa rekod peribadi 51.80s (saat) dan akhirnya memecahkan rekod luar dewan Malaysia berusia 30 tahun.

"Saya bersyukur diberi peluang untuk berlumba dalam persekitaran elit dan akhirnya mencapai salah satu impian saya. Terima kasih kepada semua yang sentiasa bersama saya, musim ini sangat menakjubkan dan saya teruja dengan apa yang Tuhan rancang untuk saya selepas ini," kata Shereen.

Ahad lalu, Shereen meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun Rabia apabila mencatat masa 51.80s pada saringan satu Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California, Amerika Syarikat (AS).

Dia yang menuntut di Winona State University di Minnesota memperbaharui rekod Rabia yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada Kejohanan Asia 1993 di Filipina.

Catatan itu juga melayakkan Shereen beraksi di Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan.

Kejayaan terbaru Shereen itu turut meletakkan dia sebagai antara pilihan utama untuk memenangi pingat emas 400m di Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, bulan depan.

Sementara itu, ibu Shereen, Josephine Mary Singarayar yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan memberitahu anak perempuannya itu dijangka tiba di tanah air pada Isnin ini bagi membuat persiapan akhir sebelum beraksi di Kemboja.

"Sebaik tiba, dia akan terus menjalani latihan di Bukit Jalil bersama rakan sepasukan yang lain. Kita doakan untuk Shereen, memang dia mahu memenangi emas di Sukan SEA nanti, saya percaya dia akan buat yang terbaik," katanya.

Pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, tahun lalu, emas dimenangi atlet Vietnam, Nguyen Thi Huyen dengan catatan 52.83s.

Berita Harian X