Isnin, 17 April 2023 | 4:56pm
Shereen memecahkan rekod kebangsaan 400 meter berusia 30 tahun semalam.
Shereen memecahkan rekod kebangsaan 400 meter berusia 30 tahun semalam.

Ibu nasihat Shereen usah sombong

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy diingatkan untuk kekal merendah diri selepas berjaya meleburkan rekod kebangsaan 400 meter (m) berusia 30 tahun, semalam.

Ibunya, Josephine Mary Singarayar menyifatkan pencapaian yang dilakar anak perempuannya itu sebagai satu permulaan dalam usaha Shereen untuk mencipta nama di peringkat yang lebih tinggi.

"Sebagai ibu, sudah tentu kejayaan ini sesuatu yang membanggakan. Segala kerja keras dan pengorbanan yang dilakukannya selama ini sudah menampakkan hasil.

"Shereen sememangnya meletakkan sasaran untuk itu (memecahkan rekod kebangsaan) dan mahu menjadi atlet Malaysia pertama melakukan catatan di bawah 52 saat (s) dalam acara 400m.

"Apa yang saya boleh kongsikan, dia adalah seorang atlet yang sentiasa bersemangat tinggi dalam sukan. Saya tidak perlu beri motivasi kepada dirinya untuk menjadi ahli sukan kerana dia sendiri mahukan perkara itu dan bercita-cita tinggi," kata Josephine yang juga bekas atlet olahraga 400m negara.

Semalam, Shereen yang berusia 25 tahun meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam apabila mencatat masa 51.80s pada saringan satu Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California, Amerika Syarikat (AS).

Dia yang menuntut di Winona State University di Minnesota memperbaharui rekod Rabia yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada 1993 di Filipina.

Lebih membanggakan, Shereen turut mengatasi rekod Sukan SEA milik atlet Vietnam, Nguyen Thi Tinh 51.83s ketika melakukannya pada edisi 2003 di Hanoi.

Shereen juga 'menolak' ibunya yang sebelum ini memegang status sebagai pelari 400m kedua terpantas kebangsaan ke kedudukan ketiga dengan catatan 52.65s.

Catatan itu juga melayakkan Shereen beraksi di Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan.

Kejayaan terbaru Shereen itu turut meletakkan dia sebagai antara pilihan utama untuk memenangi pingat emas 400m di Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, bulan depan.

Josephine, berkata Shereen sememangnya mengintai peluang untuk menghadiahkan emas buat kontinjen Malaysia di Phnom Penh nanti.

"Shereen akan pulang ke Malaysia pada 23 April ini dan menjalani latihan di Bukit Jalil sebagai persiapan terakhir sebelum ke Sukan SEA bersama rakan sepasukan yang lain.

"Walaupun kita belum tahu pencabar dia di Sukan SEA nanti, namun dia memang meletakkan sasaran untuk menaiki podium dan akan berusaha untuk memenangi emas," katanya.

Berita Harian X