KUALA LUMPUR: Masa untuk Shereen Samson Vallabouy menakluki Asia Tenggara!
Itu harapan yang disuarakan ketua jurulatih olahraga negara, Zaki Sadri menjelang Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, bulan depan selepas Shereen berjaya meleburkan rekod kebangsaan 400 meter (m) berusia 30 tahun, pagi tadi.
Atlet Winona State University di Minnesota itu merakam masa 51.80 saat (s) pada saringan satu Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California, Amerika Syarikat (AS) sekali gus memperbaharui rekod milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada 1993 di Filipina.
Lebih manis, Shereen turut memadam rekod Sukan SEA milik atlet Vietnam, Nguyen Thi Tinh 51.83s ketika melakukannya pada edisi 2003 di Hanoi.
Catatan itu juga melayakkan Shereen beraksi di Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan.
Zaki, berkata pencapaian dilakar Shereen itu adalah sesuatu yang sudah dijangka berdasarkan peningkatan prestasi ditunjukkan atlet berkenaan termasuklah bagi saingan dalam dewan yang menyaksikan dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali dalam tempoh setahun sebelum ini.
Katanya, Shereen adalah salah seorang prospek utama pingat emas buat skuad olahraga negara pada Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.
"Selepas kita tidak dapat menggunakan khidmatnya untuk Sukan SEA tahun lalu (di Hanoi, Vietnam), saya sangat bersyukur kerana kali ini Shereen akan bersama pasukan olahraga ke Kemboja.
"Saya fikir ini adalah masa untuk Shereen. Dia pun memang teruja untuk bertanding di Sukan SEA dan mahu membuktikan dia adalah yang terbaik.
"Saya sedar dalam pertandingan semua perkara boleh berlaku, saya hanya minta Shereen kekal fokus untuk beraksi di Sukan SEA nanti," kata Zaki mula memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih pada awal tahun ini bagi menggantikan Manshahar Abdul Jalil yang tidak disambung kontraknya.
Mengulas lanjut, Zaki memberitahu Shereen yang juga anak kepada bekas atlet kebangsaan, Josephine Mary Singarayar hanya akan beraksi dalam dua acara di Phnom Penh iaitu 400m dan 4x400m biarpun ada cadangan untuk dia turut membarisi kuartet 4x400m campuran yang dilihat turut berpotensi untuk memenangi emas.
"Saya tidak mahu bebankan Shereen dan keputusan ini juga dibuat selepas perbincangan bersama jurulatihnya di AS, (Mason Rebarchek) dan ibunya, Josephine. Lagipun, acara 4x400m campuran akan berlangsung awal iaitu sebelum 400m individu.
"Jadi, kami tidak mahu ambil risiko kerana kami mahu dia memberi fokus sepenuhnya dalam aara 400m dan bantu kuartet 4x400," katanya.