KUALA LUMPUR: Skuad olahraga negara berdepan tugasan mencabar dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan itu di rantau Asia Tenggara terutama dalam acara trek di Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh dari 5 hingga 17 Mei ini.
Pada edisi terakhir di Hanoi, Vietnam, tahun lalu, Malaysia menepati sasaran yang ditetapkan dengan membawa pulang lima pingat emas, tiga perak dan lapan gangsa.
Bagaimanapun, semua lima emas yang dimenangi itu hadir dalam acara padang menerusi kejayaan jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, Andre Anura Anuar (lompat kijang), Jackie Wong (baling tukul besi), Grace Wong (baling tukul besi wanita dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah wanita).
Situasi itu mengundang persoalan mengenai kemampuan atlet trek negara untuk menjelmakan kilauan emas di bumi Kemboja ketika negara seperti Thailand dan Singapura berjaya mempamerkan peningkatan prestasi yang positif.
Di Phnom Penh kali ini, tumpuan sudah pastinya terarah kepada dua bekas pemenang emas 100 meter (m), Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi yang kembali diberi kepercayaan bagi menggalas tugas dalam acara riben biru itu.
Khairul Hafiz yang diberi julukan 'The Speedy Jantan' memenangi emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 manakala Haiqal mempertahankan gelaran itu dua tahun kemudian di Filipina.
Walaupun mengakui ia bukan tugas mudah, namun Khairul Hafiz percaya tiada apa yang mustahil untuk dia kembali merampas gelaran juara.
Khairul Hafiz dan Haiqal perlu bersaing dengan juara bertahan dari Thailand, Puripol Boonson yang sekali lagi diletakkan sebagai pilihan utama kali ini.
Puripol mempunyai catatan peribadi terbaik 10.09s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.
"Insya-Allah, bagi saya tiada apa yang mustahil untuk kembali memenangi emas kerana saya pernah buktikan sebelum ini. Dalam acara 100m ini, macam-macam boleh berlaku.
"Contohnya pada 2017, Eric Cray (Filipina) yang juga juara bertahan diletakkan sebagai pilihan tetapi saya buktikan boleh memenangi emas ketika itu,' katanya yang memiliki catatan peribadi terbaik 10.18s.
Khairul Hafiz dan Haiqal turut akan membarisi kuartet 4x100m bersama Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa dan Russel Alexander Nasir Taib dalam misi mengintai peluang untuk meraih emas dan meleburkan rekod kebangsaan.
Bagi acara 100m wanita, skuad olahraga negara meletakkan sandaran kepada pelari berpengalaman, Zaidatul Husniah Zulkifli dan muka baharu, Nur Aishah Rofina Aling untuk mencabar emas di Phnom Penh tetapi jurang dilihat masih jauh di belakang atlet pecut Singapura, Shanti Pereira yang diletakkan sebagai pilihan utama.
Shanti mempamerkan peningkatan prestasi yang ketara menjelang Sukan SEA Kemboja apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 11.37 saat (s) di Terbuka Australia, awal bulan ini selain dia turut memperbahurui rekod 200m apabila merakam 22.89s di kejohanan sama.
Sebagai rekod, Zaidatul pernah menewaskan Shanti ketika memenangi perak 100m pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan catatan 10.74s yang mana pencabarnya itu sekadar meraih gangsa dengan catatan 11.76s.
Dalam pada itu, atlet 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy dilihat di landasan tepat untuk menghadirkan emas buat kem olahraga negara selepas empat kali memecahkan rekod kebangsaan dalam dewan bagi acara itu dalam tempoh setahun.
Terbaru, dia mencatatkan masa 52.27s ketika mengungguli Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, Amerika Syarikat (AS), bulan lalu.
Dia di landasan tepat bagi meleburkan rekod kebangsaan acara 400m luar dewan yang berusia 30 tahun milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam 52.56s yang melakukannya pada 1993 di Filipina.
Aksi di Phnom Penh kali ini menyaksikan acara padang sekali lagi dilihat sandaran realistik untuk Malaysia memenangi emas dengan Irfan, Andre, Jackie, Grace dan Nor Sarah Adi dilihat mempunyai peluang untuk mempertahankan kejuaraan masing-masing.
Kelibat jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa yang berpangkalan di Jerman juga bakal menjadi tumpuan dengan dia turun dengan misi untuk menebus kekecewaan selepas terlepas emas pada edisi Hanoi, tahun lalu.
Nauraj yang bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak Kejohanan Dunia tahun lalu adalah pemenang emas tiga kali berturut-turut di pentas Sukan SEA bermula edisi 2013 hingga 2017.
Pada temasya kali ini, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menetapkan sasaran untuk membawa pulang 10 emas dari Phnom Penh namun tidak mendedahkan atlet mana yang menjadi sandaran badan induk itu untuk merealiasikan matlamat berkenaan.
Sukan: Olahraga
Tarikh pertandingan: 6 hingga 12 Mei
Venue: Stadium Nasional Morodok Techno di Phnom Penh
Pingat ditawarkan: 47 emas, 47 perak, 47 gangsa
Pencapaian 2021: 5 emas, 3 perak, 8 gangsa
Sasaran: 10 emas
Senarai Atlet:
Lelaki: Haiqal Hanafi (100m, 4x100m), Khairul Hafiz Jantan (100m, 4x100m), Arsyad Saat (200m, 4x100m), Russel Alexander Nasir Taib (200m, 4x100m), Jonathan Nyepa (4x100m), Zulfiqar Ismail (4x100m), Umar Osman (400m, 4x400m, 4x400m campuran), Abdul Wafiy Roslan (400m, 4x400m, mixed 4x400m), Firdaus Zemi (4x400m, mixed 4x400m), S. Tharshan (4x400m), Ruslem Zikry Putra (400m hurdles, 4x400m), Wan Fazry Wan Zahari (800m, 4x400m), S. Maheswaren (800m, 4x400m), J. Prabudass (1500m), Daren James Nair (3000m lari berhalangan, 5000m), Ikbolasen Kamal Hussain (5000m, 10000m), S. Poo Vasanthan (5000m), Fakhrul Razi Jailani (20km jalan kaki), Sriven Tan (20km jalan kaki), Andre Anura Anwar (lompat kijang), Izzul Haniff Raffi (lompat kijang)), Eizlan Dahalan (lompat tinggi), Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Kamal Farhan Rahman (lempar cakera), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Sadat Marzuki Ajisan (baling tukul besi), Jackie Wong (baling tukul besi), Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Jonah Chang Anak Rigan (lontar peluru), Benedict Ian Gawok (110m lari berpagar), Shareem Aleimran Abdul Raheem (110m lari berpagar), Wilson Quaik (decathlon), Shahrizal Nasharuddin (lompat jauh), Sunik Muslimin (lompat jauh), Naufal Shahrul (lompat bergalah), Asrul Badroldin (lompat bergalah), Syed Abrar Syed Ahmad (lontar lembing), Tan Huong Leong (marathon).
Wanita: Zaidatul Husniah Zulkifli (100, 200m, 4x100m), Nur Aishah Rofina Aling (100m, 4x100m), Azreen Nabila Alias (4x100m), Nur Afrina Batrisyia Rizal (200m, 4x100m), Shereen Samson Vallabouy (400m, 4x400m), Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (400m, 4x400m, 4x400m campuran), Savinder Kaur (800m, 1500m), Hizillawanty Jamain (800m), Geetha Sivaraja (1500m), Farah Syakira (100m berpagar), Nor Sarah Adi (lompat bergalah, 4x100m), Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi (4x400m), Zaimah Atifah Zainuddin (4x400m, 4x400m campuran), Mandy Goh Li (400m berpagar, 4x400m, 4x400m campuran), Norliyana Kamaruddin (heptatlon), Winnie Eng May Xin (heptatlon, 4x400m), Nurul Ashikin Abas (lompat jauh, lompat kijang), Ngu Jia Xin (lompat tinggi), Yap Sean Yee (lompat tinggi), Queenie Ting Ku Ni (lempar cakera), Nur Atiqah Sufiah Hanizam (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi), Nurul Hidayah Lukman (baling tukul besi), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru), Nurul Ainin Syauqina Nor Azahar (lontar peluru), Ng Jing Xuan (lontar lembing), J. Pavithra Devi (lontar lembing).